"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Pas kini dikuasai ‘Geng Publika’, dakwa orang kanan Najib

Malaysia Dateline

Tiga pemimpin Pas yang dilebelkan sebagai 'Geng Publika' oleh orang kanan Najib.

Umno mendakwa, Pas kini dikuasai oleh tiga pemimpin parti itu yang dinamakan sebagai ‘Geng Publika’ yang sentiasa bermesyuarat dengan Menteri Dalam Negeri yang juga Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainudin.

Menurut orang kanan Datuk Seri Najib Razak, ketiga-tiga mereka adalah Setiausaha Agung Pas Datuk Takiyuddin Hassan, Naib Presiden Datuk Seri Ahmad Samsuri Mokhtar dan AJK Pas Pusat, Datuk Dr Khairuddin Aman Razali.

“Ketiga-tiga mereka inilah berunding dengan Hamzah Zainuddin secara senyap-senyap sehingga tertubuhnya PN (Perikatan Nasional) secara senyap-senyap walaupun sudah bersama Umno dalam Muafakat Nasional,” kata Datuk Lokman Noor Adam dalam siaran FB Live beliau lewat malam tadi.

Lokman, bekas Pengarah Komunikasi Kementerian Kewangan ketika Najib menjadi menterinya sentiasa mendedahkan apa yang berlaku di belakang tabir politik Umno dalam siaran FB Live beliau.

Menurut Lokman, ketiga-tiga mereka inilah juga menjadi orang kepercayaan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang sentiasa bertemu di Publika, sebuah pusat membeli belah elit di tengah ibu kota.

“Kita fahamlah, dalam usia dan situasi Tok Guru Haji Hadi sekarang, dia banyak delegate (serahkan) kepada orang lain untuk bincang. Dia tidak mikro manage lagi,” kata Lokman menjelaskan bagaimana banyak keputusan Pas diserahkan Hadi kepada tiga orang ini.

Menurut Lokman, Pas mula melukakan hati Umno apabila menyertai Kongres Penyatuan Melayu yang dianjurkan oleh Tun Dr Mahathir Mohamad padahal muafakat antara Umno dan Pas pasti membuahkan kejayaan.

“Tun Mahathir ni tuan-puan macam Mat Sabu kepada Pas lah. Mereka ni pengkhianat kepada parti asal mereka tetapi Pas tak sensitif kepada perasaan Umno apabila bersama Mahathir.

“Apa perasaan Pas jika Umno menyertai majlis yang dianjurkan oleh Mat Sabu dan AMANAH. Sudah tentu Pas marah. Begitulah perasaan Umno bila Pas buat macam tu,” kata Lokman.

Ketika itu, kata Lokman, Presiden Umno pula menghantar Setiausaha Agung Umno, Datuk Annuar Musa.

“Perangai Setiausaha Agung Pas (Takiyuddin) ni tuan puan samalah dengan perangai bekas Setiausaha Agung Umno ni sekarang.

“Sekarang Annuar Musa lebih setia lagi kepada Muhyiddin berbanding dengan Presiden Umno. Sebab itulah, dalam kes sidang media Anwar Ibrahim ni, Zahid kata lain, Annuar Musa kata lain,” jelas Lokman Noor Adam.

Sebaik sahaja Anwar Ibrahim mengumumkan beliau mempunyai majoriti dalam Dewan Rakyat, Presiden Umno Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mengaku ada ahli Parlimen Umno yang menyokong Anwar dan beliau tidak boleh menghalangnya.

Namun Datuk Annuar Musa yang merupakan Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN) dan Menteri Wilayah Persekutuan pula meminta Yang di-Pertuan Agong membubarkan Parlimen bagi membolehkan pilihan raya mengejut diadakan.

Langkah itu katanya, untuk mengembalikan mandat kepada rakyat bagi menentukan pemimpin pilihan mereka sekali gus menjadi jalan terbaik menyelesaikan kemelut politik yang melanda negara.

KENAPA PAS TIADA KERUSI DI SABAH

Dalam siaran FB Live lewat malam tadi juga Lokman mendedahkan Bersatu yang telah gagal memberikan kerusi kepada Pas dalam pilihan raya negeri Sabah.

Ia berlaku apabila dalam perundingan, Pas mengambil sikap untuk bersama dengan Perikatan Nasional (PN) dalam pilihan raya di Sabah, bukan bersama BN yang dipimpin Umno.

“Dalam rundingan BN dan PN, mereka setuju 42 (dari 73) kerusi di Sabah diberikan kepada BN manakala selebihnya akan ditandingi oleh PN.

“Tiba-tiba selepas Pas bersama dengan Bersatu dalam PN, tiada kerusi diberikan kepada Pas. Jadi itu kena tanya Muhyiddinlah,” kata Lokman selepas ditanya oleh seorang penyokong Pas kepada beliau kenapa Pas tidak ada sebarang kerusi di Sabah.

Lokman menjangkakan ada beberapa sebab kenapa Pas berdiam diri selepas dikhianati sedemikian rupa oleh Bersatu.

“Mungkin Pas sasarkan perkara yang lebih perlu bagi mereka seperti royalti minyak di Terengganu yang ada banyak lagi belum dibayar kerana mereka sedang mencari dana untuk pilihan raya sekarang,” kata Lokman kerana Perdana Menteri yang mampu menunaikan kesemua perkara itu.

Tiada ulasan: