"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Halang ADUN AMANAH jadi sukarelawan, ternyata Pas masih amal politik ‘rimba’

MALAYSIA DATELINE

Tindakan Pas menghalang Adun Pengkalan Kundur Dr Ismail Salleh dari AMANAH untuk menjadi sukarelawan di program vaksinasi ternyata parti Islam itu masih mengamalkan politik rimba, demikian menurut AJK AMANAH Nasional Ridzwan Abu Bakar.

Menurut Ridzwan, Yang Dipertua Pas Kawasan Kuala Kedah yang merupakan penyelaras DUN Pengkalan Kundur dikatakan telah bertindak menghalang usaha murni Dr Ismail hanya kerana beliau dari parti AMANAH.

“YDP Pas Kawasan Kuala Kedah beliau dikatakan telah menghalang kehadiran Dr Ismail sebagai seorang ‘sukarelawan’ KKM untuk program vaksinasi di dalam kawasan DUN Pengkalan Kundur.

“Alasannya ? Kerana ADUN Pengkalan Kundur, Dr Ismail Salleh dari Parti Amanah.

“Itulah Pas! Yang masih mengamalkan politik ‘rimba’ dalam era kemajuan ‘berfikir’ ini. Pas rasakan bahawa Pas adalah segalanya,”kata beliau,

Ridzwan berkata, ketika Dr Ismail menjawat Exco Agama Kedah beliau menolak ketepi fahaman politik apabila turut menyampaikan bantuan kepada sekolah yang dimiliki Pas.

“Sewaktu Pakatan Harapan memerintah Kedah dan Dr Ismail menjawat sebagai Exco Agama, beliau telah menyampaikan bantuan kepada sekolah Pas (yang dimiliki oleh Dewan Pemuda Pas dan pengerusi sekolah tersebut adalah Pas) bagi pihak kerajaan Kedah.

“Ada penyokong PH yang marah, namun Dr Ismail menegaskan siapa pun yang memohon dan memenuhi syarat, mereka perlu dibantu,” kata beliau.

Bukan itu sahaja bahkan katanya salah seorang pimpinan atasan Pas Kedah pernah memohon sumbangan untuk satu majlis yang dianjur oleh sekolah yang dikelola oleh beliau kepada Dr Ismail.

“Dr Ismail telah meluluskan permohonan tersebut dan ternyata sumbangan itu dari ‘sumber’ peribadi Dr Ismail.

“Payah sangat kalau kita berdepan dengan para pemain di padang demokrasi, tetapi tidak berjiwa demokrat,” katanya.

Terdahulu, Dr Ismail kecewa apabila beliau menerima hantaran ‘whatsapp’ memaklumkan beliau tidak lagi dialu-alukan menjadi sukarelawan dalam program vaksinasi atas faktor politik.

Dr Ismail merupakan seorang doktor perubatan pernah menjadi sukarelawan di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di beberapa lokasi di seluruh Kedah sebelum ini.

Antara kejayaan beliau dan pasukan perubatan lain adalah ketika proses vaksinasi di Universiti Utara Malaysia (UUM) apabila berjaya menvaksinasi 7,345 penerima dalam tempoh 3 hari PPV itu beroperasi.

Tiada ulasan: