"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Selepas sebulan Umno jadi PM, pendakwaraya tarik balik kes ke atas Ahmad Maslan

FAZLI RADZI

Ahli Parlimen Pontian, Datuk Seri Ahmad Maslan, dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, pagi ini, daripada tuduhan gagal mengisytiharkan wang RM2 juta diterima daripada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan memberi pernyataan palsu kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Ia selepas pendakwaan memberitahu mahkamah bahawa pihaknya bersetuju menarik balik kesemua pertuduhan selepas Ahmad membayar kompaun RM1.1 juta.

Sehubungan itu, Hakim Datuk Ahmad Shahrir Mohd Salleh melepas dan membebaskan Ahmad daripada semua pertuduhan.

Terdahulu, Tetuan Shahrul Hamidi dan Haziq dalam kenyataan, berkata proses penyelesaian itu dibuat mengikut undang-undang melalui proses yang telus dan teratur.

“Penyelesaian ini bukan pengakuan bersalah terhadap pertuduhan yang dikenakan terhadap anak guam.

“Proses penyelesaian ini tiada kaitan dengan apa-apa faktor politik atau membabitkan mana-mana orang, agensi siasatan dan pendakwaan,” katanya.

Untuk rekod, Ahli Parlimen Bera Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, 61, yang juga Naib Presiden Umno mengangkat sumpah jawatan Perdana Menteri kesembilan di hadapan Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Istana Negara, 21 Ogos lalu.

Ahmad yang juga Setiausaha Agung Umno dan Ahli Parlimen Pontian pada 24 Ogos lalu mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Dua pertuduhan itu ialah gagal mengisytiharkan RM2 juta diterima daripada Datuk Seri Najib Razak kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan memberi penyataan palsu kepada Suruhanjaya Pencegahan rasuah Malaysia (SPRM). 

Ahmad, 55, pada 21 Jan tahun lalu, didakwa melibatkan diri dalam pengubahan wang haram dengan cara tidak melaporkan pendapatan sebenar berjumlah RM2 juta yang diterima daripada bekas Perdana Menteri itu kepada LHDN dalam Borang Nyata Cukai Pendapatan Bagi Tahun Taksiran 2013 yang bertentangan dengan Seksyen 113(1)(a) Akta Cukai Pendapatan 1967.

Beliau didakwa menerima wang tersebut, yang dipercayai sebagai hasil daripada aktiviti yang menyalahi undang-undang, melalui cek AmIslamic Bank Berhad bertarikh 27 Nov 2013 dan cek tersebut telah ditunaikan sendiri oleh Ahmad pada hari sama, lapor Awani.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di LHDN, Cawangan Duta, Kompleks Pejabat Kerajaan, Jalan Tuanku Abdul Halim di sini pada 30 April 2014 mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 yang membawa hukuman maksimum penjara lima tahun atau denda RM5 juta atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan kedua, Ahmad didakwa memberi pernyataan palsu kepada SPRM semasa percakapannya dirakam oleh pegawai penyiasat SPRM iaitu Ketua Penolong Kanan Penguasa Mohd Zairi Zainal mengenai isu itu di bilik sidang media, Bangunan Parlimen, Jalan Parlimen di sini antara 2.45 dan 3.30 petang pada 4 Julai 2019. 

Ahmad didakwa mengikut Seksyen 32(8)(c) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram yang membawa hukuman maksimum penjara lima tahun atau denda RM3 juta atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Sebelum ini, perbicaraan kes itu ditetapkan di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen Suzana Hussain bermula 5 Julai lepas.

Bagaimanapun, kes tersebut dipindahkan ke Mahkamah Tinggi selepas Hakim Collin Lawrence Sequerah membuat keputusan membenarkan permohonan Ahmad untuk memindahkan kesnya dari Mahkamah Sesyen.

Mahkamah memutuskan demikian atas alasan antaranya terdapat persoalan undang-undang serius yang timbul terutama dalam pertuduhan dihadapi anak guamnya di bawah Seksyen 32 Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001.

Tiada ulasan: