"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Mahiaddin-Najib ‘berperang’ isu perabot Seri Perdana

FAZLI RADZI

Bekas Perdana Menteri, Tan Sri Mahiaddin Md Yassin mendakwa Najib Razak telah membawa keluar beberapa perabot dan chandelier dari Seri Perdana.

Mahiaddin berkata demikian ketika ditanya berhubung isu tersebut pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Tertinggi Perikatan Nasional (PN) siang tadi.

Susulan itu, Najib dalam reaksinya memberitahu beliau boleh memberikan perabot-perabot tersebut secara percuma kepada kerajaan memandangkan tidak digunakan sama sekali.

“Lagipun, perabot-perabot lama dibeli saya yang JPM arahkan untuk kami keluarkan dari Seri Perdana masih simpan di warehouse sebab saya masih berpuas hati dengan perabot saya di rumah saya.

“Jika kerajaan ada niat, saya setuju untuk berikan secara percuma kepada kerajaan. Hanya perlu berhubung dengan pegawai saya dan datang warehouse untuk pilih,” katanya dalam hantaran di Facebook malam ini.

Najib yang tahun lalu dijatuhi hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta berkaitan kes tujuh tuduhan pecah amanah, menyalahgunakan kedudukan dan pengubahan wang haram dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd (SRC) itu tidak sanggup untuk percaya dirinya dijadikan alasan Mahiaddin untuk meluluskan projek ubahsuai dan naik taraf Seri Perdana.

“Selepas kalah PRU14, saya dan keluarga saya diberikan masa beberapa jam sahaja untuk meninggalkan Seri Perdana sebab PM7 (Tun Dr Mahathir Mohamad) percaya bahawa ada banyak rahsia tersimpan di sana.

“Pada bulan Ogos 2018, saya tulis surat kepada Jabatan Perdana Menteri (JPM) untuk diberi kebenaran mengambil balik barang peribadi, hadiah, cenderamata dan perabot yang dibeli dengan duit sendiri dari Seri Perdana.

“Tapi surat saya tidak dibalas,” jelas Najib sambil turut memberitahu setahun selepas itu, beliau sekali lagi menulis surat untuk permintaan yang sama.

Walau bagaimanapun, beliau berkata, JPM hanya membalas suratnya selepas 14 bulan kemudian iaitu pada 21 Oktober tahun lalu.

Menurut Najib, JPM menyatakan mereka bersetuju untuk Najib mengambil kembali barangan peribadi dan perabot miliknya dengan syarat hanya senarai barangan termasuk perabot yang dapat dibuktikan adalah dibeli oleh Najib dan bukan aset kerajaan dibenarkan.

JPM, kata Najib lagi, seterusnya menulis satu lagi surat pada 18 November 2020 meminta beliau untuk mengangkat barangan peribadi keluar dari Seri Perdana dalam dalam tempoh dua minggu sebelum 3 Disember 2020.

Tiada ulasan: