"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

MoU melengahkan ajal PN?

Nasser Anfani

Bagi orang yang “lurus bendul” dalam menilai, menghitung, dan mengunjurkan perkembangan politik, mereka pasti merumuskan suhu politik negara telah mula mendingin sejak ada Perdana Menteri baharu, Ismail Sabri Yaakob.

Maka bagi yang pemaaf dan baik hati, memang wajar merafak syukur bahawa sinar mentari politik yang menyegarkan mula meresapi kehidupan, apatah lagi ancaman wabak Covid-19 pun mula menurun mutakhir ini.

Hujah serang-menyerang antara kerajaan dengan pihak pembangkang banyak berkurangan. Lantas ramai yang memuji kebijaksanaan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong yang berani dan ikhlas menunjuki jalan damai.

Malaysia agak tenang sekarang. Maka kempen kerajaan supaya rakyat jangan percaya kebanyakan cerita ehwal politik di media sosial, yang dikatakan palsu, mungkin ada merit dan kejayaannya.

Mereka menaruh harapan besar Ismail Sabri akan lebih berhasil menguruskan pandemik Covid-19 dan ekonomi walaupun kebanyakan mereka sebelum ini turut dalam kelompok yang menuduh kerajaan pimpinan Muhyiddin Yassin “lemau”.

Bagi mereka, langkah damai melalui memorandum persefahaman (MoU) antara Ismail dan pemimpin Pakatan Harapan (PH) dalil keikhlasan dan kebijaksanaan Ismail yang berwawasan. Maka rakyat seluruhnya patut bersyukur pada Ismail.

Namun apa sebenarnya natijah MoU itu?

Yang pasti, masih ada pihak yang ketegar pandangan politik mereka menganggap MoU itu satu lagi muslihat Perikatan Nasional, yang merampas kuasa PH melalui jerangkap “Langkah Sheraton” tidak sampai dua tahun lalu. Justeru, ia dikatakan tidak sah.

MoU itu, bagi mereka, helah Ismail untuk “menarik nafas sementara” hingga beliau berhasil membina wibawa untuk kerajaan baharunya. Kelompok ini menganggap Ismail mewarisi “kelembapan dan kebebalan” kerajaan Muhyiddin.

Mereka percaya kerajaan Muhyiddin rapuh dan PN terus menggelegak dengan pergeseran politik dalam kalangan anggota pelbagai partinya. Bagi mereka, kerajaan dianggotai ‘katak-katak politik’ tiada integriti dan akan sentiasa meragui keikhlasan rakan-rakan politik mereka.

Ukuran mereka ialah “benih” kerajaan Ismail sama dengan pentadbiran Muhyiddin. Ini kerana tim Ismail kelihatan saling tak tumpah pasukan Muhyiddin yang dianggap lemah dan tidak cekap itu.

Mereka jangka bila-bila masa kerajaan ini akan musnah dek cemburu politik sesama sendiri. Bibit ini mula kelihatan mutakhir ini apabila Umno dan Bersatu mula mendabik dada akan kemampuan memenangi PRU15 tanpa kerjasama yang lain.

Ciri politik yang ditunjukkan ini memang lazim bagi “perkahwinan” yang tidak ikhlas. Sikap tiada tolak ansur mudah memercikkan api. Ini kerana politik lompat parti ini lazimnya ditunjangi pemikiran Machiavelli, iaitu “matlamat menghalalkan cara”.

Sekaligus ia melondehkan betapa rapuhnya ideologi PN yang ditunjangi PAS dan Bersatu pimpinan Muhyiddin. Jika ditelusuri, fahaman rasis yang mahu hanya parti Melayu-Islam sahaja memerintah mungkin makan tuan. Golongan yang pesimis akan ideologi ini mempertikaikan wibawa mereka sebagai Melayu dan Muslim tulen.

Malaysia goyah dan dicemuh kerana amalan rasuah dan salah tadbir parti Melayu-Islam sebelum ini. Banyak rekod boleh dikemukakan dalam hal ini.

Mantan perdana menteri, Dr Mahathir Mohamad, pernah mencemuh ideologi parti pelbagai kaum yang dikatakan sukar menang di negara majoriti Melayu-Islam. Namun susuk parti Melayu-Islam PN kini dicerminkan oleh ramai pemimpin yang nilai Islam dan Melayu mereka dikatakan ‘kekurangan’.

Justeru, dengan menandatangani MoU ini, jelas Ismail perlu satu tempoh yang panjang untuk mengikis iri hati dalam kalangan anggota PN, dan “busuk hati” dalam partinya sendiri.

Congakan Ismail ini dapat dilihat pada tawarannya kepada PH – saling tak tumpah ‘gula-gula’ yang ditawarkan Muhyiddin sebelum ini untuk menghindari usul percaya terhadap kepemimpinannya apabila Dewan Rakyat bersidang semula selepas Darurat tamat.

Sementara PH pula bersetuju berMoU dengan Ismail kerana lebih lama beliau cuba mengharmonikan keluarga Umno makin rapuh hubungan partinya dengan rakan-rakan dalam keluarga PN.

Tiada ulasan: