"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Tak cukup bawa lari budak perempuan, lelaki arah OKU rakam aksi amang seksual

FMT Reporters

PETALING JAYA: Tidak cukup dengan membawa lari seorang budak perempuan dan menyamun remaja orang kurang upaya (OKU), seorang lelaki tergamak mengarah mangsa yang disamun merakam perbuatan amang seksual yang dilakukannya terhadap kanak-kanak berusia tujuh tahun itu.

Ketua Polis Johor, Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, kanak-kanak perempuan itu dilarikan suspek di depan rumahnya di kawasan Taman Teratai, Kangkar Pulai, Johor pada 5 petang kelmarin.

Katanya, suspek menaiki kereta yang tidak diketahui jenis dan nombor pendaftarannya kemudian membawa mangsa ke kawasan Stulang Laut sebelum menyamun seorang lelaki OKU berusia lingkungan 20-an mengakibatkan kerugian berjumlah RM500.

“Lelaki OKU berkenaan diarahkan oleh suspek supaya merakam kejadian amang seksual terhadap kanak-kanak perempuan di dalam kereta dipandu suspek,” katanya dalam kenyataan.

Suspek berusia 36 tahun ditahan polis di Kampung Kangkar Baru, Yong Peng, Johor, semalam. (Gambar PDRM)

Ayob berkata, lelaki OKU itu kemudian ditinggalkan oleh suspek di tepi jalan Stulang Laut dalam keadaan selamat, manakala kanak-kanak perempuan yang dalam keadaan takut dan trauma ditemui orang awam di depan sebuah kedai makan, Kangkar Pulai.

Suspek berusia 36 tahun itu berjaya ditahan semalam di Kampung Kangkar Baru, Yong Peng dan sebuah kereta Proton Waja berwarna kelabu serta telefon bimbit dirampas.

“Permohonan reman ke atas suspek hari ini dibenarkan oleh mahkamah hingga 20 Dis. Kes disiasat bawah Seksyen 392 Kanun Keseksaan/Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak (AKSTK) serta Seksyen 363 Kanun Keseksaan.

“Hukuman bagi kesalahan Seksyen 392 Kanun Keseksaan adalah penjara sehingga 14 tahun dan denda atau sebat, Seksyen 14 (a) AKSTK dengan penjara tidak lebih 20 tahun dan sebatan, manakala Seksyen 363 Kanun Keseksaan memperuntukan hukuman penjara sehingga tujuh tahun dan denda,” katanya.

Tiada ulasan: