"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Mat Sabu: Kenapa tak letupkan pam air rosak untuk keluarkan banjir di Sri Muda?

Nora Mahpar

Mohamad Sabu berkata, pam air rosak yang mengakibatkan air banjir terperangkap boleh dibom dan digantikan dengan pam baharu selepas mengambil kira kemampuan negara membayar faedah hutang 1MDB berjumlah berbilion ringgit.

KUALA LUMPUR: Mohamad Sabu (PH-Kota Raja) menuntut penjelasan mengapa tentera tidak meletupkan pam air yang rosak di Sungai Muda bagi mengeluarkan air banjir yang terperangkap dalam kawasan perumahan Taman Sri Muda, Shah Alam, pada 18 Dis lalu.

Ketika membahaskan usul mengenai bencana banjir yang melanda negara baru-baru ini, Presiden Amanah itu berkongsi pengalamannya menyertai operasi membantu mangsa banjir di Taman Sri Muda selepas beliau menyaksikan sendiri air sungai lebih rendah daripada paras banjir.

“Ketika itu saya pergi ke tebing (Sungai Muda), ramai tentera di situ. Masa itu air sungai sudah rendah daripada paras banjir. Saya tanya kenapa air banjir lambat surut, mereka kata pam tiada elektrik, jadi terpaksa cari pam untuk keluarkan air.

“Air banjir nak dipam keluar. Bayangkanlah.. saya tahu saya bukan menteri lagi, tetapi saya bercakap dengan jeneral tentera di situ tidak bolehkah bom (letupkan) pam yang rosak supaya air dapat keluar dengan cepat. Pam dibom kemudian kita buat baru, kita boleh bayar faedah hutang 1MDB berbilion-bilion apa salahnya kita buat ban baru,” katanya di Dewan Rakyat.

Bagaimanapun beliau berkata, pasukan keselamatan tidak boleh dipersalahkan berhubung kelemahan sistem pengurusan itu kerana tiada arahan awal diberikan.

“Pasukan keselamatan kita sudah bersedia, FRU pun sudah bersedia dari awal, tapi kita tahu mereka bertindak mengikut loceng (kecemasan). Ertinya loceng itu tidak dibunyikan, loceng itu daripada siapa? Perdana Menteri, menteri?” soal beliau.

Bekas Menteri Pertahanan itu berkata, dalam keadaan kecemasan seperti bencana besar, Malaysia seharusnya tidak harus malu untuk meminta bantuan daripada negara jiran khususnya yang mempunyai perjanjian bencana dengan Malaysia.

“Kita bantu Laos ketika negara itu dilanda banjir besar pada 2020 dan gempa bumi di Indonesia. Malaysia dalam keadaan cemas begini jangan malu untuk minta bantuan daripada negara yang ada perjanjian bencana dengan kita. Jangan kata kita boleh buat tetapi (sebenarnya) tak mampu,” katanya.

Tiada ulasan: