"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Sultan Ibrahim perkenan bubar DUN Johor

Malaysiakini 

Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar berkenan untuk membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor, sekaligus membuka laluan untuk PRN diadakan.

"Sultan Johor Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar berkenan menandatangani watikah pembubaran DUN Johor untuk memberi laluan kepada PRN," menurut kenyataan yang dikeluarkan di laman Facebook rasmi Sultan Ibrahim.

Menurut kenyataan itu, baginda berkenan menerima mengadap Menteri Besar Hasni Mohammad pada jam lima petang tadi di Istana Bukit Serene di Johor Bahru.

Pertemuan turut disertai Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim dan Setiausaha Kerajaan Negeri, Azmi Rohani, yang kemudian mempersembahkan watikah pembubaran Dewan Negeri Johor, menurut kenyataan itu lagi.

Spekulasi mengenai PRN Johor mula tersebar minggu lalu dengan kerajaan yang dipimpin BN hanya mempunyai kelebihan satu kerusi.

Ia berikutan kematian Adun Kempas daripada Bersatu, Osman Sapian pada 21 Disember lalu.

Terdahulu hari ini Umno Johor bermesyuarat bagi membincangkan persiapan untuk menghadapi PRN Johor.

Selepas mesyuarat Hasni yang juga Pengerusi Umno negeri memaklumkan ia mendapat persetujuan Umno negeri bagi menghadap Sultan Johor untuk memohon perkenan pembubaran DUN.

Dalam pada itu, kenyataan rasmi Sultan Johor berkata pembubaran DUN Johor berkuatkuasa secara rasmi hari ini berdasarkan undang-undang tubuh negeri.

"Fasal 23 Bahagian Kedua Undang-Undang Tubuh Kerajaan Johor 1895 bahawa Dewan Negeri Johor Darul Ta’zim termansuh pada 22 Januari 2022," kata kenyataan itu.

Tiada ulasan: