"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

‘Hairan bagaimana UPM anugerah hampir 400 PhD tahun ini’

Shasmsul Iskandar Mohd Akin

Berhubung berita Majlis Konvokesyen ke-44 Universiti Putra Malaysia (UPM) pada 8 hingga 13 Januari lalu terdapat fakta yang perlu diberi pencerahan oleh universiti berkenaan, terutama penganugerahan seramai 398 penerima Ijazah Doktor Falsafah (PhD).

Saya tertanya tanya mengapakah begitu ramai yang dianugerahi PhD di UPM sedangkan universiti universiti di luar negara yang lebih tinggi rankingnya dalam senarai Times Higher Education misalnya, tidak menganugerahkan ijazah PhD sebanyak itu dalam setahun.

Timbul tanda tanya bagaimanakah pelajar PhD ini dinilai sekiranya seorang pelajar memerlukan seorang profesor sebagai penyelia bagi tujuan memantau, menyemak dan meluluskan tesis yang mereka hasilkan? Adakah UPM mempunyai tenaga pengajar sebanyak itu atau mereka diselia oleh pensyarah yang lebih rendah taraf akademiknya?

Sedangkan 10 universiti terbaik dunia, jika diteliti graduan PhD yang dihasilkan tidak lebih 20 orang setahun. Misalnya universiti terulung dunia seperti Universiti Cambridge hanya melahirkan di bawah sepuluh oleh pelajar PhD setahun dalam 5 tahun terakhir ini.

Adakah PhD yang dihasilkan oleh UPM ini setaraf dengan universiti utama dunia atau mempunyai taraf berlainan? Jika PhD yang dihasilkan di bawah standard (substandard) universiti ulung dunia, dan kaedah penyediaan tesisnya lebih mudah maka apakah standard ini diakui dunia akademik di luar Malaysia?

Penganugerahan PhD bukan perkara kecil. Seseorang yang memiliki PhD dianggap layak dan kompeten untuk melakukan kerja kerja yang sesuai dengan kepakarannya. Sekiranya kualiti PhD itu dikompromi maka kerja yang dilakukan kelak merisikokan organisasi yang mengupah mereka.

Saya mendesak Kementerian Pengajian Tinggi agar memantau universiti universiti tempatan yang mengeluarkan begitu banyak graduan PhD dalam setahun dan meneliti kaedah penghasilan PhD mereka, sebelum ranking universiti Malaysia merosot di peringkat antarabangsa yang tentunya meletakkan kepentingan kepada kualiti penyelidikan.

SHAMSUL ISKANDAR MOHD AKIN adalah ahli parlimen Hang Tuah Jaya dan ketua penerangan PKR.

Tiada ulasan: