Haziq Abdullah
am@hmetro.com.my
Johor Bahru: Parti Keadilan Rakyat (PKR) disebut-sebut akan membariskan bekas Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik sebagai calon dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor pada 11 Julai ini.
Sumber memaklumkan, nama bekas Ahli Parlimen Simpang Renggam itu kini dalam senarai akhir calon PKR mewakili Pakatan Harapan (PH) yang akan diumumkan tidak lama lagi.
Namun, kerusi mana yang akan ditandingi beliau masih dirahsiakan.
Maszlee memenangi kerusi Parlimen Simpang Renggam pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 dengan majoriti 3,475 undi.
Bagaimanapun, pada PRU ke-15, beliau gagal mempertahankan kerusi berkenaan apabila tewas kepada bekas Menteri Besar Johor Datuk Seri Ir Hasni Mohammad dengan majoriti 1,821 undi dalam pertandingan tiga penjuru.
Maszlee yang ditemui pada Ceramah Umum Pakatan Harapan Bersama Perdana Menteri di Muar malam tadi mengakui diminta oleh Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk bertanding pada PRN Johor kali ini.
"Ya, Datuk Seri Presiden ada kata kepada saya untuk bertanding.
"Saya masih fikir lagi. Tunggu pengumuman rasmi parti nanti," katanya.
Namun, beliau enggan mengulas lanjut apabila ditanya di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) mana akan bertanding.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) baru-baru ini mengumumkan PRN Johor Ke-16 akan diadakan pada 11 Julai ini
Hari penamaan calon dan hari pengundian awal, masing-masing ditetapkan pada 27 Jun dan 7 Julai ini.
Pada PRN Johor Ke-15, Barisan Nasional memenangi 40 daripada 56 kerusi,manakala PH meraih 12 kerusi, Perikatan Nasional (PN) tiga dan Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) memenangi satu kerusi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan