Mohd Haris Fadli Mohd Fadzil
harisfadli@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Polis Diraja Malaysia (PDRM) sedang mengesan kumpulan disyaki mencuri kabel utiliti Telekom Malaysia (TM) menggunakan tiga kereta mewah jenis BMW di Jalan Dato Sulaiman, Taman Tun Dr Ismail, di sini, semalam.
Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Hoo Chang Hook berkata, pihaknya menerima laporan daripada pihak TM berhubung kejadian itu selepas ia tular di media sosial.
"Hasil siasatan mendapati kejadian tersebut berlaku pada 4.30 pagi. Seorang saksi yang sedang menjalankan kerja berkaitan topografi ternampak lima lelaki yang tidak dikenal pasti sedang menarik keluar kabel milik TM.
"Saksi menegur kumpulan berkenaan sebelum mereka bertindak melarikan diri dari lokasi kejadian dengan menggunakan tiga buah kenderaan BMW, iaitu dua berwarna putih dan satu berwarna hitam," katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurutnya, semakan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di sekitar lokasi mengesahkan pembabitan lima suspek lelaki yang menggunakan tiga kenderaan jenis sedan BMW.
Katanya, usaha mengesan suspek sedang giat dijalankan manakala jumlah kerugian oleh pihak TM dianggarkan kira-kira RM20,000 dan kertas siasatan dibuka mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan kerana mencuri dan Seksyen 235 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
Terdahulu tular di media sosial dua klip video memaparkan beberapa kereta jenis BMW dikatakan menarik kabel utiliti TM sebelum melarikan diri selepas disergah beberapa individu yang berada di lokasi kejadian.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan