"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Menjawab tiga falasi Presiden Pas yang memukau pentaksubnya

Harapandaily

DATUK SERI DR MUJAHID YUSOF RAWA

Falasi adalah penta’qulan terhadap sesuatu penghujahan di mana ia menggambarkan kelemahan sesuatu hujah apabila ditekuni sama ada lemah dalam membuat deduksi tepat dari satu kerangka penghujahan mahupun lemah dari sudut tidak konsisten penghujahannya antara satu sama lain.

Falasi sukar ditemui malah berpotensi menjadi satu ilusi kepada orang ramai bahawa ia dilihat benar, namun pada hakikatnya setelah diteliti terdapat kelemahan ketara dari sudut rumusannya mahupun faktanya.

Falasi Haji Hadi tentang isu Islam dan Syariat dalam kerangka negara terkhusus pandangannya berkaitan isu Nik Elin sangat ketara walaupun untuk mengenalpasti sesuatu falasi memerlukan penta’aqulan yang mendalam.

Hujahan Haji Hadi dalam isu Nik Elin terlalu mudah untuk kita mengenali betapa lemahnya deduksi beliau dan tidak konsistennya hujah beliau.
Tulisan Minda Presiden yang dimuatkan dalam Facebook beliau sarat dengan falasi walaupun permulaan tulisan dibanjiri ayat-ayat al Quran dan Hadis.

Bukan semua ayat al Quran dan Hadis yang dipetik mesti menggambarkan kehebatan penulisan.

Kehebatan penulisan ialah memahami secara mendalam nas yang dipetik dan kemudian membawa semangat ayat yang dipetik dalam suasana waqie yang hendak dibicarakan.

Di sinilah Haji Hadi membuat deduksi yang tidak tepat dengan waqie’ seolah-olah keseluruhan tulisan itu berada di awang-awangan tidak bertemu bumi hendak dipijak dan terdedah kepada manipulasi.

Falasi pertama isu Nik Elin dalam tulisan Hj Hadi ialah dengan membuat rumusan bahawa semua proses ini adalah menentang “syariat dan menentang syariat ialah menentang Allah”.

Falasi kedua ialah menganggap keputusan hakim-hakim dalam berpihak kepada Nik Elin adalah terdiri daripada mereka yang minda dan akalnya dikuasai tulisan pemikiran penjajah (bijaksini).

Falasi ketiga ialah beliau mengheret institusi Raja seolah Raja-raja Melayu tidak lagi punya agenda memartabatkan syariah.

Tulisan beliau memukau pentaksubnya kerana penampilan keulamakannya lalu mereka tenggelam dalam lautan falasinya menyangkakan ianya satu kebenaran!
Menjawab falasi

Menjawab falasi pertama, bahawa kes Nik Elin ini ialah menentang syariat.

Rumusan ini adalah ralat dan khilaf yang sangat asas.

Pertama, petisyen Nik Elin bukan menentang syariat tetapi secara perundangan ialah petisyen menuntut keputusan mahkamah dalam isu apakah Dewan Undangan Negeri Kelantan telah salah menggunakan bidang kuasanya menggubal undang-undang.

Nik Elin membawa contoh 18 enakmen yang digubal di negeri Kelantan sebagai bahan buktinya.

Setelah melalui proses akhirnya keputusan 8-1 dibuat bahawa 16 peruntukan kesalahan syariah bukan bidang kuasa badan perundangan negeri itu untuk menggubalnya.

Ia salah kerana peruntukan itu sudah pun wujud di peringkat undang-undang Persekutuan.

Di manakah syariat Allah ditentang? Kalau Haji Hadi menerima bahawa 16 enakmen itu adalah syariat yang ditentang, maka Haji Hadi wajib menerima 16 peruntukan kesalahan itu yang terdapat dalam undang-undang di Persekutuan adalah syariat jua malah lebih tegas hukumannya! Apakah syariat yang dipertahankan Haji Hadi dalam kes Nik Elin hanya wujud di Kelantan?

Lama duduk

Falasi kedua ialah membuat rumusan terhadap hakim-hakim kes Nik Elin sebagai dikuasai akal dan mindanya oleh tulisan warisan penjajah.

Kegagalan Presiden Pas itu memahami proses undang-undang dan perjalanan keadilan dalam negara ini amat dikesali walaupun beliau lama duduk di kerusi penggubal undang-undang negara.

Ketua Hakim negara dalam komentarnya menyebut dengan jelas bahawa tugasannya mengendalikan kes Nik Elin ini tidak ada kena mengena dengan doktrin Islam tetapi sekadar melihat isu bidang kuasa semata.

Bagaimana Hj Hadi membuat rumusan Hakim-Hakim ini dikuasai pemikiran penjajah sedangkan Islam memperakui proses menegakkan keadilan mestilah berperinsip bebas dan berkecuali, bukan ianya prinsip warisan penjajah!

Buktinya dari 18 peruntukan kesalahan yang dihujahkan bercanggah kuasa, hanya 16 diperakui manakala 2 lagi kekal dibidang kuasa badan perundangan negeri.

Mengheret Raja-Raja Melayu

Falasi ketiga ialah mengheret Raja-raja Melayu ke dalam polemik ini dengan pelbagai andaian buruk terhadap institusi diraja.

Falasi ini membuatkan Hj Hadi dan pentaksubnya terjebak dalam sarang tebuan.

Haji Hadi gagal memahami tugas dan fungsi Majlis Kebangsaan Hal Ehwal Islam atau singkatnya MKI yang dipengerusikan oleh Paduka Tuanku Sultan Selangor.

Secara institusinya MKI adalah badan berotoriti tertinggi yang diperbuat oleh Majlis Raja-Raja Melayu.

Isu berkaitan autoriti Islam diberi kuasa bertaraf Institusi yang mempunyai mekanisma lebih luas dan berkuasa.

Malah, arahan menubuhkan Jawatankuasa Khas untuk tangani isu kompetensi antara kuasa Dun dan Persekutuan datang dari arahan MKI.

Sultan Selangor menegur Presiden Pas supaya institusi MKI dapat dipelihara dari falasi Haji Hadi yang tidak memahami perjalanan pentadbiran Islam dalam kerangka negara.

Tindakan Paduka Tuanku Sultan Selangor sebagai Pengerusi MKI menegur Haji Hadi adalah untuk kepentingan umat Islam di Malaysia supaya tidak dieksploitasi oleh pentaksub Hj Hadi dengan membuat komentar-komentar biadab dan hilang hormat kepada institusi raja.
Falasi Tan Seri Haji Hadi telah meninggalkan kesan yang sangat memudaratkan kepada negara kerana penulisannya telah memberikan imej yang buruk kepada sistem keadilan negara dan sistem raja berperlembagaan.

Haji Hadi menggunakan Islam sebagai agama rasmi persekutuan untuk menaikkan kebencian antara rakyat dan kaum melalui pentaksubnya yang menjadi pelaung falasi Haji Hadi secara buta-tuli.

Tiada ulasan: