"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Korban nahas di Kuala Krai meningkat 4 orang

Bernama
Keadaan Perodua Myvi selepas terbabit kemalangan di Jalan Kuala Krai-Gua Musang dekat Kampung Pahi hari ini. (Gambar JBPM Kelantan)
KUALA KRAI: Seorang lagi kanak-kanak terbabit kemalangan dua kereta di Jalan Kuala Krai-Gua Musang dekat Kampung Pahi, di sini meninggal dunia di hospital, menjadikan jumlah korban nahas itu kepada empat orang, kata Pemangku Ketua Polis Kuala Krai, Kamarulzaman Harun.

Beliau berkata, kanak-kanak lelaki enam tahun itu meninggal dunia pada 3.15 petang tadi, ketika dirawat di zon merah Hospital Sultan Ismail Petra, di sini.

Katanya, hasil siasatan awal mendapati kemalangan dipercayai berlaku semasa Nissan March dari Gua Musang menghala ke Kota Bharu masuk ke laluan Perodua Myvi dari arah Kota Bharu menghala Gua Musang menyebabkan kedua-dua kereta itu bertembung.

“Dalam kejadian ini, tiga mangsa dalam Perodua Myvi maut di tempat kejadian, manakala dua lagi mangsa (dalam Perodua Myvi) menerima rawatan di Hospital Kuala Krai,” katanya dalam kenyataan malam ini.

Kemudian, seorang daripada dua mangsa dalam Perodua Myvi itu meninggal dunia di hospital, sementara mangsa yang terselamat sedang dirawat di zon kuning hospital sama.

Dua mangsa dalam Nissan March, iaitu pemandu parah dan penumpang pula cedera ringan.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan pihak polis akan menjalankan siasatan secara terperinci.”

Terdahulu, Bernama melaporkan seorang kanak-kanak perempuan antara tiga disahkan maut dalam kemalangan kira-kira 1.38 tengah hari tadi di Jalan Kuala Krai-Gua Musang dekat Kampung Pahi, dengan semua mangsa dihantar ke Hospital Sultan Ismail Petra.

Tiada ulasan: