Mohd Ishak Abdillah Ngah
KUALA TERENGGANU: Dua lelaki tempatan masing-masing didenda RM10,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, selepas mengaku bersalah membenarkan pendatang asing tanpa izin (PATI) berada di premis di bawah kawalan mereka dalam dua kes berasingan.
Hakim Nazlyza Mohd Nazri menjatuhkan hukuman itu terhadap Muhammad Fahrizal Mat Zin, 39, dan Leonardo Ling Choi Seng, 36, sejurus kedua-duanya membuat pengakuan bersalah selepas pertuduhan dibacakan secara berasingan.
Mahkamah turut memerintahkan kedua-dua tertuduh dipenjara sekiranya gagal membayar denda berkenaan.
Mengikut pertuduhan pertama, Muhammad Fahrizal yang juga pemilik syarikat pembinaan didakwa membenarkan dua PATI warga Indonesia berada di sebuah tapak pembinaan rumah dua tingkat di Kampung Kubang Jambu, di sini, pada 9 Disember lalu.
Siasatan mendapati tertuduh bertanggungjawab menguruskan kerja-kerja binaan di premis itu dan membenarkan kedua-dua warga asing terbabit tinggal di lokasi berkenaan tanpa pas sah.
Bagi pertuduhan kedua, Leonardo Ling yang merupakan pengurus syarikat didakwa membenarkan dua PATI warga Bangladesh berada di sebuah rumah kongsi di Kawasan Bio-Polimer Park (KBP), Kerteh, Kemaman, pada 28 Januari lalu.
Kedua-dua pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 55E(1) Akta Imigresen 1959/63 yang memperuntukkan denda tidak kurang RM5,000 dan tidak melebihi RM30,000 atau penjara maksimum 12 bulan atau kedua-duanya sekali bagi setiap PATI.
Pendakwaan dikendalikan pegawai daripada Jabatan Imigresen Negeri Terengganu.

Tiada ulasan:
Catat Ulasan