"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Lelaki londeh seluar semasa seminar ditahan

Zaza Atira

Ketua pegawai operasi APU menerangkan keadaan susulan dakwaan di media sosial. Katanya individu itu tiada kaitan dengan universiti tersebut.
Tangkap layar memaparkan lelaki memakai dan menzip seluar sebelum beredar dari dewan.
PETALING JAYA: Seorang lelaki yang melondehkan seluar semasa satu seminar membabitkan pelajar sekolah di Universiti Teknologi & Inovasi Asia Pasifik (APU) telah ditahan polis.

Sebelum ini terdapat dakwaan lelaki itu melakukan onani, namun Ketua Pegawai Operasi APU Gurpardeep Singh, menerangkan perkara itu.

“Pelajar itu tidak melakukan onani tetapi melondehkan seluar,” katanya kepada FMT.

Gurpardeep berkata, polis dihubungi apabila kejadian diketahui dan semakan mendapati suspek tidak mempunyai sebarang kaitan dengan universiti tersebut.

Tambahnya, menurut polis, suspek dikatakan mempunyai masalah mental.

“Dia pastinya bukan pelajar APU mahupun kakitangan APU atau dalam apa jua cara sekalipun berkaitan APU,” katanya.

Gurpardeep berkata, seminar tersebut bukan dianjurkan oleh pihak universiti tetapi oleh beberapa buah sekolah.

Menurutnya, siasatan dalaman sedang dijalankan.

“Kami perlu tahu bila dan bagaimana individu ini masuk ke dalam dewan bersama para pelajar,” katanya.

Dalam pada itu, Ketua Polis Cheras Mohd Rosdi Daud mengesahkan suspek berusia 20an itu ditahan di kawasan Sri Petaling dan direman tiga hari mulai hari ini.

“Motif kejadian masih di dalam siasatan. Kes disiasat di bawah Seksyen 509 Kanun Keseksaan,” katanya dalam kenyataan.

Satu hantaran tular di media sosial mendakwa lelaki itu memasuki auditorium bersama pelajar-pelajar dua sekolah menengah yang menghadiri seminar tersebut. Salah sebuah sekolah tersebut dikatakan membenarkan pelajar hadir ke seminar dengan berpakaian biasa.

Warganet mendakwa lelaki itu mula melakukan onani selepas kira-kira 40 minit seminar berlangsung, menyebabkan seorang pelajar perempuan yang duduk di sebelahnya menangis. Guru kemudian campur tangan dan mengarahkan lelaki itu meninggalkan auditorium.

Video tular memaparkan lelaki itu memakai dan menzip seluar sebelum keluar dari dewan tersebut.

Tiada ulasan: