"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Mahiaddin tunggang Lembaga Disiplin buru Hamzah

K PRAGALATH

Ahli Parlimen Tasek Gelugor Datuk Wan Saiful Wan Jan mendakwa bahawa presiden Bersatu Tan Sri Mahiaddin Yassin dan pasukannya menunggang Lembaga Disiplin untuk memburu timbalannya merangkap ketua pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainuddin.

“Sudah terang lagi bersuluh bahawa Mahiaddin dan penjilatnya menunggang Lembaga Disiplin untuk memburu Hamzah.”

Wan Saiful yang telah dipecat keahliannya dari Bersatu berkata demikian sebagai respon kepada laporan media bahawa Lembaga Disiplin Bersatu mahu berjumpa Hamzah pada 12 Februari.

Sebelum ini Ahli Parlimen Machang Wan Ahmad Fayshal Wan Ahmad Kamal menuduh Bersatu sebagai bacul dan mahu memecat Hamzah dari parti tersebut.

Wan Saiful menjelaskan perjumpaan beliau sendiri dengan Lembaga Disiplin membuktikan bahawa Lembaga tersebut hanyalah keldai tunggangan untuk memburu Hamzah.

Beliau turut menuduh bahawa Datuk Seri Radzi Manan selaku pengerusi Lembaga Disiplin melakukan siasatan ecara terpilih.

“Radzi Manan selaku pengerusi Lembaga Disiplin pula jelas sekali secara memilih-milih dalam menjalankan siasatan. Kalau dia rasa sesuatu aduan melemahkan kelompok mereka, maka aduan itu tidak dihiraukan.

“Tapi kalau aduan itu memperkukuh Mahiaddin dan (setiausaha agung Bersatu Datuk Seri) Azmin (Ali), Radzi Manan berperangai macam monyet tertelan Viagra.

“Saya sendiri menghantar aduan berkaitan salah laku Azmin melalui surat bertarikh 29 September 2025. Cop Bersatu dengan jelas menyatakan penerimaan aduan saya pada 30 September 2025.”

Beliau turut mendakwa bahawa beliau dipecat susulan aduan yang dibuat terhadap Azmin.

“Untuk menutup kesalahan Azmin, saya sebagai pengadu dan saksi-saksi yang saya namakan dalam surat aduan itu pula yang mereka pecat dua minggu selepas mereka terima aduan saya.

“Itulah Lembaga Disiplin Bersatu di bawah Muhyiddin. Tidak bermaruah. Tidak beramanah.”

Tiada ulasan: