"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Isu pencerobohan tanah bina kuil haram: Firdaus Wong tegur Annuar Musa isu rumah ibadat haram

SITI NUR ZAWANI
Aktivis sosial yang juga pendakwah, Firdaus Wong menegur Tan Sri Annuar Musa yang hanya bersuara mengenai pembinaan rumah ibadat di tapak haram selepas Perdana Menteri mengeluarkan pendirian kerajaan.

Dalam satu hantaran di Facebook Annuar, beliau menyatakan bahawa arahan Perdana Menteri mengenai kuil haram adalah sesuatu yang membimbangkan.

Ahli Jawatankuasa Pas Pusat itu mendakwa Datuk Seri Anwar Ibrahim mengarahkan “perobohan” rumah ibadat haram. 

Kenyataan asal Anwar adalah “memberi keizinan kepada Pihak berkuasa tempatan (PBT) untuk bertindak ke atas rumah ibadat yang dibina tanpa mengikut jalur hukum yang sah”.

Firdaus Wong meninggalkan komen di hantaran pemimpin Pas itu, mempersoal mengapa baru sekarang Annuar Musa mahu bersuara terhadap kenyataan PM sedangkan isu itu sudah berlarutan beberapa hari.

Aktivis itu juga mengulas perkara itu di Facebook, mengkritik tindakan Annuar Musa yang seolah-olah cuba mempertahankan rumah ibadat haram dan memberi gambaran pihak yang ingin mendaulatkan undang-undang adalah tidak harmoni.

“Apabila kita berusaha mendaulatkan undang-undang, mereka ini sunyi sepi. Tidak menyatakan sokongan mahupun menyatakan bantahan. Barangkali ‘wait & see’ & jaga undi?

“Apabila PMX, membuat kenyataan tegas disusuli titah Tuanku Sultan Selangor, barulah mereka bersuara.

“Tetapi dalam kes ini, Tan Sri Annuar Musa memilih perkataan yang sama dengan mereka yang mempertahankan kuil haram seolah-olah kita yang ingin mendaulatkan undang-undang tidak harmoni,” katanya.

Aktivis itu berkata, apa yang baik dan betul mereka akan sokong, begitu juga jikalau ianya salah, mereka akan membantah tanpa mengira kaum, agama mahupun parti. 

Terdahulu, Perdana Menteri menegaskan babawa kerajaan tidak akan membenarkan percambahan rumah ibadat yang dibina sewenang-wenangnya tanpa kelulusan, termasuk di kawasan awam.

Justeru beliau memberi keizinan kepada pihak PBT untuk bertindak membersihkan kawasan yang bukan hak kuil supaya polemik berhubung pembinaan rumah ibadat tidak mengikut peraturan diselesaikan dengan baik.

Tiada ulasan: