Harapandaily
Pas yang sebelum ini menuduh kerajaan negeri Perlis pimpinan Bersatu sebagai ‘pengkhianat’ kini memohon jawatan penyelaras di tiga DUN yang terjejas akibat konflik dalaman parti itu sendiri.
Naib Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH), Datuk Mahfuz Omar mempersoalkan konsistensi pendirian Pas dalam krisis politik negeri itu yang disifatkan sebagai memasuki fasa yang lebih membimbangkan.
“Persoalan besar yang wajar direnung oleh ahli dan penyokong Pas ialah soal konsistensi prinsip.
“Jika kerajaan tersebut dianggap tidak bermoral dan tidak wajar disertai, mengapa kini jawatan pentadbiran pula dimohon daripada pihak yang sama?” tempelaknya menerusi satu kenyataan.
Krisis politik di Perlis memuncak pada hujung tahun lalu apabila Menteri Besar ketika itu dari Pas, Mohd Shukri Ramli meletakkan jawatan selepas kehilangan sokongan beberapa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dalam kerajaan Perikatan Nasional (PN).
Susulan itu, ADUN Kuala Perlis dari Bersatu, Datuk Seri Abu Bakar Hamzah dilantik sebagai Menteri Besar baharu.
Perubahan kepimpinan itu menyaksikan jawatan Menteri Besar beralih daripada Pas kepada Bersatu, sekaligus mencetuskan kekosongan peranan pentadbiran di peringkat kawasan.
Mengulas lanjut, Mahfuz menegaskan bahawa isu berkenaan bukan sekadar soal kalah atau menang politik, sebaliknya menyentuh soal amanah dan kejujuran dalam perjuangan.
Katanya, rakyat di DUN Guar Sanji, Bintong dan Simpang Empat menjadi pihak paling terkesan akibat krisis dalaman parti sehingga kehilangan wakil rakyat.
Kini sekali lagi, tambahnya, berdepan ketidaktentuan apabila penyelesaian dicari melalui pelantikan politik, bukannya mandat baharu daripada rakyat.
Dalam masa sama, Mahfuz mengingatkan bahawa perjuangan berteraskan Islam menuntut kejujuran dan keteguhan prinsip, bukan keputusan yang berubah mengikut keadaan kuasa.
“Ketaatan tidak boleh diminta daripada ahli jika prinsip berubah-ubah mengikut situasi politik,” kata Mahfuz lagi.

Tiada ulasan:
Catat Ulasan