MOHD RIDZAUDDIN ROSLAN

Seorang bekas Setiausaha Politik kepada bekas Ketua Menteri Melaka bersama isteri dibawa untuk permohonan reman di Mahkamah Majistret Putrajaya hari ini. GAMBAR : FAISOL MUSTAFA/KOSMO!
PUTRAJAYA- Bekas setiausaha politik kepada mantan Ketua Menteri Melaka dan isterinya yang disyaki meminta dan menerima rasuah kira-kira RM3 juta direman selama lima hari bagi membantu siasatan.
Perintah reman bermula hari ini sehingga 16 Februari terhadap kedua-dua suspek dikeluarkan oleh Majistret Ezrene Zakariah selepas permohonan dibuat Suruhanya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Mahkamah Majistret Putrajaya.
Semalam, SPRM menahan kedua-dua suspek ekoran disyaki meminta dan menerima rasuah sebagai balasan membantu sebuah syarikat dilantik sebagai konsesi projek penambakan laut di sekitar Melaka.
Penahanan kedua-dua individu itu disahkan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki dengan menyifatkan kes disiasat di bawah Akta SPRM 2009.
Menurut sumber, kedua-dua suspek suami isteri tersebut ditahan kira-kira pukul 2 petang semalam ketika hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya.
“Siasatan awal mendapati suspek yang bergelar Datuk Wira itu dipercayai melakukan perbuatan tersebut antara Februari hingga November 2021.
“Pasangan suami isteri ini disyaki menggunakan wang rasuah tersebut untuk membeli sebuah unit kondominium di sekitar Lembah Klang,” katanya.
Terdahulu, kedua-dua suspek tiba di perkarangan Mahkamah Majistret Putrajaya pada pukul 9.10 pagi tadi menaiki kenderaan SPRM bagi proses permohonan reman. -KOSMO! ONLINE
Tiada ulasan:
Catat Ulasan