FMT Reporters
PETALING JAYA: Polis menahan seorang lelaki warga Myanmar selepas rakannya ditemui mati dengan 29 tikaman di leher di sebuah bilik rumah kedai berdekatan Jalan Besar Bukit Pelandok di Port Dickson, Ahad lalu.
Ketua Polis Port Dickson, Maslan Udin berkata, pihaknya menerima maklumat kejadian itu pada 9.45 malam pada Isnin sebelum menahan suspek berusia 21 tahun di kawasan Bukit Pelandok pada hari yang sama.
Katanya, mangsa yang juga warga Myanmar berusia 26 tahun dijumpai dalam keadaan tertiarap dengan kesan tikaman pada bahagian leher di bilik berkenaan.
“Kejadian dipercayai berlaku semasa mangsa bersama suspek sedang minum minuman keras di dalam bilik.
“Suspek dipercayai melakukan perbuatan itu ketika dalam pengaruh alkohol, namun motif kejadian masih dalam siasatan,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.
Maslan berkata suspek dan mangsa merupakan kenalan di tempat kerja dan bekerja sebagai tukang panggang babi.
Menurutnya, bedah siasat selama lebih lima jam terhadap mayat mangsa yang dijalankan pada Selasa mendapati, punca kematiannya disebabkan luka tikaman di leher sebanyak 29 tikaman.
“Suspek direman selama tujuh hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan