"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Kes fitnah: Mahkamah tolak rayuan Siti Mastura bayar RM750,000

Faisal Asyraf

PUTRAJAYA: Mahkamah Rayuan mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi yang memerintahkan Ahli Parlimen PAS Siti Mastura Muhammad membayar ganti rugi RM750,000 kerana memfitnah tiga pemimpin kanan DAP.

Panel tiga hakim dipengerusikan Hakim Ahmad Kamal Shahid, bersama Evrol Mariette Peters, dan Latifah Tahar, sebulat suara menolak rayuan wakil rakyat Kepala Batas itu.

Ketika menyampaikan keputusan tersebut, Kamal menyatakan mahkamah mendapati tiada merit dalam rayuannya, sekali gus mengekalkan sepenuhnya penghakiman Mahkamah Tinggi Pulau Pinang, pada 4 Dis 2024.

Panel itu juga menolak rayuan balas daripada ketiga-tiga pemimpin berkenaan berhubung kuantum ganti rugi, yang didakwa tidak mencukupi.

Mahkamah tidak mengeluarkan sebarang perintah mengenai kos bagi kedua-dua rayuan dan rayuan balas berkenaan.

Siti Mastura didapati memfitnah Lim Kit Siang, Lim Guan Eng, dan Teresa Kok dengan mengaitkan mereka dengan bekas pemimpin Parti Komunis Malaya, Chin Peng, melalui dakwaan hubungan kekeluargaan dalam satu ceramah politik di Kemaman, Terengganu, pada 4 Nov 2023.

Sebelum ini, Mahkamah Tinggi Pulau Pinang memihak tiga pemimpin tersebut dengan memberikan ganti rugi RM300,000 kepada Kit Siang, RM250,000 kepada Guan Eng, dan RM200,000 kepada Kok.

Hakim Quay Chew Soon juga telah memerintahkan Siti Mastura membayar kos RM25,000 kepada setiap plaintif, berserta faedah pada kadar lima peratus setahun dari tarikh penghakiman.

Mengenai pembelaan komen berpatutan, Ahmad Kamal berkata, panel hakim bersetuju dengan Mahkamah Tinggi bahawa perkataan dipertikaikan itu bukanlah pendapat, tetapi kenyataan fakta, dan ia adalah ‘jelas palsu’.

Panel berkenaan mengambil maklum bahawa Mastura telah membuat siri dakwaan fakta khusus yang mengaitkan trio DAP itu dengan Chin Peng serta Perdana Menteri pertama Singapura, Lee Kuan Yew, dengan menegaskan wujudnya hubungan kekeluargaan secara langsung.

“Dalam konteks masyarakat Malaysia, melabelkan seseorang atau memberi gambaran mereka mempunyai pertalian dengan parti komunis diharamkan – musuh dan ancaman kepada keselamatan negara serta Perlembagaan Persekutuan – tidak dapat dinafikan adalah bersifat fitnah.

“Kenyataan sedemikian menyentuh dasar kesetiaan, integriti, dan reputasi seseorang,” katanya sambil menyatakan pembelaan komen berpatutan tidak boleh dibina di atas fakta palsu.

Berkait justifikasi, mahkamah mendapati Mastura gagal membuktikan kebenaran dakwaannya.

Mahkamah mengambil maklum pergantungannya kepada sebuah buku didakwa dikaitkan dengan jabatan komunikasi Barisan Nasional (BN) adalah pincang, memandangkan sumber tersebut tidak mempunyai pengarang, penerbit, atau tarikh yang boleh dikenal pasti, selain pembuatnya tidak dipanggil untuk memberi keterangan.

“Seorang defendan tidak boleh sekadar mengulangi maklumat yang tidak disahkan daripada sumber tanpa nama dan mendakwanya sebagai kebenaran.

“Perbuatan sedemikian adalah melulu dan tidak bertanggungjawab,” kata hakim itu.

Mengenai perlindungan bersyarat, mahkamah menolak hujah bahawa kenyataan-kenyataan tersebut dibuat atas dasar tanggungjawab politik semasa kempen pilihan raya.

Mahkamah memutuskan pembelaan terbabit memerlukan kepercayaan yang jujur terhadap kebenaran penerbitan itu, dengan disokong oleh langkah munasabah untuk mengesahkan maklumat berkenaan.

Dengan menggunakan prinsip yang telah ditetapkan, panel hakim mendapati Mastura gagal mengambil langkah sedemikian, terutamanya tidak mendapatkan maklum balas daripada pihak plaintif.

Mahkamah juga mengekalkan dapatan mengenai wujudnya niat jahat, merujuk tingkah laku defendan sebelum dan selepas penerbitan tersebut.

Mahkamah turut mengambil maklum beliau tidak menarik balik kenyataannya mahupun memohon maaf, sebaliknya tetap mempertahankan kenyataan itu.

Yusfarizal Yusoff mewakili Mastura, manakala SN Nair bertindak bagi pihak trio DAP berkenaan.

Tiada ulasan: