MOHD RIDZAUDDIN ROSLAN

Pendakwah bebas terbabit dibawa SPRM ke Mahkamah Majistret Seremban untuk permohonan reman semalam.
PUTRAJAYA – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyita pelbagai aset berjumlah kira-kira RM4 juta dipercayai milik seorang pendakwah bebas susulan siasatan melibatkan penyelewengan dana sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) miliknya.
Menurut sumber, sitaan dilakukan hari ini termasuklah pelbagai mata wang asing dan tempatan selain barang kemas bernilai RM2 juta.
Sitaaan mata wang melibatkan jumlah sebanyak RM152,155 selain Riyal 7,325 dan SGD 27,134.
“Hari ini SPRM Negeri Sembilan telah melakukan sitaan terbaharu. Selain ada pertambahan sitaan untuk duit mata wang asing dan tempatan, kami turut menyita pelbagai perhiasan emas bernilai kira-kira RM2 juta.
“Sehubungan itu, nilai sitaan terbaharu semalam dan hari ini berjumlah kira-kira RM4 juta,” katanya hari ini.
Menurut sumber, siasatan awal juga mendapati dua ahli jawatan kuasa yang disyaki bersubahat dengan pendakwah bebas tersebut merupakan isterinya yang juga bendahari NGO tersebut dan seorang setiausaha.
Tambah sumber, siasatan turut mendapati duit yang dipercayai dipindahkan ke akaun bank milik pendakwah bebas itu dan juga ke lapan akaun bank syarikat yang juga milik individu itu dilakukan tanpa pengetahuan ahli jawatankuasa lain.
Semalam SPRM Negeri Sembilan telah menahan reman seorang pendakwah bebas selama lima hari kerana disyaki menyalah guna kuasa dan menyeleweng dana sebuah NGO ditempatnya bekerja berjumlah kira-kira RM12.3 juta untuk kepentingan peribadi.
Sementara itu, Pengarah SPRM Negeri Sembilan, Awgkok Ahmad Taufik Putra Awg Ismail ketika dihubungi mengesahkan perkara tersebut.
Katanya, lapan syarikat yang terlibat merupakan syarikat-syarikat yang terdiri daripada syarikat percetakan, penerbitan, jualan buku, pemasaran, penjualan produk, pengurusan sumber manusia dan pengurusan duta produk. – KOSMO! ONLINE
Tiada ulasan:
Catat Ulasan