Suharmin Yusuf
suharmin.yusuf@hmetro.com.my

ANTARA kenderaan mewah yang disita SPRM Selangor susulan siasatan kes penyelewengan dana zakat berjumlah kira-kira RM230 juta. FOTO Ihsan SPRM.
Shah Alam: Timbalan pengerusi sebuah badan bukan kerajaan (NGO) antara tiga yang ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Selangor kerana disyaki terbabit dalam penyelewengan dana zakat berjumlah kira-kira RM230 juta.
Menurut sumber, tangkapan dibuat terhadap dua lelaki berumur lingkungan 50-an dan 60-an antara jam 3 hingga 5 petang di sekitar Lembah Klang, hari ini.
Katanya, seorang lagi suspek lelaki berumur lingkungan 50-an ditahan pada jam 2 petang ketika hadir memberi keterangan di pejabat SPRM Selangor.
"Siasatan awal mendapati kesemua suspek yang dua daripadanya merupakan pengarah syarikat disyaki bersubahat melakukan perbuatan tersebut antara tahun 2018 hingga 2024.
"Siasatan turut mendapati timbalan NGO tersebut telah memindahkan RM230 juta ke dalam akaun syarikatnya bagi tujuan pelaburan dan juga tujuan peribadi," katanya.
Sumber berkata, siasatan kini tertumpu kepada kemungkinan berlaku penyelewengan dana awam kerana NGO berkenaan ialah pertubuhan yang mengutip sumbangan orang ramai untuk disalurkan kepada golongan yang memerlukan.
Dalam operasi itu, sumber berkata, SPRM turut menyita 18 unit kenderaan mewah antaranya Porsche dan Mercedes, selain rumah bernilai kira-kira RM11 juta serta pelbagai harta alih lain termasuk wang tunai dan jam tangan berjenama.
Menurut sumber, SPRM turut membekukan 33 akaun bank berjumlah kira-kira RM120 juta.
Sementara itu, Pengarah SPRM Selangor, Mohd Azwan Ramli ketika dihubungi mengesahkan tangkapan tersebut dan memaklumkan kes disiasat di bawah Akta SPRM 2009.
Katanya, kesemua suspek dijangka dibawa ke Mahkamah Majistret Shah Alam esok untuk permohonan reman.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan