"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Pemilik syarikat umrah dipenjara sembilan bulan

Akibat ingkar perintah tribunal tuntutan, pemilik syarikat umrah ini dipenjara sembilan bulan
Harapandaily

Seorang pemilik syarikat pengurusan pakej umrah dipenjara sembilan bulan oleh Mahkamah Majistret Tawau, hari ini.

Hukuman itu dijatuhkan selepas dia didapati bersalah atas tiga tuduhan gagal mematuhi award Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia (TTPM) membabitkan tuntutan puluhan ribu ringgit.

Norhayani M Ilham, 44, dijatuhi hukuman oleh Majistret Don Stiwin Malanjun selepas pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes melampaui keraguan munasabah di akhir perbicaraan.

Lapor Buletin TV3, ibu kepada dua anak berkenaan dihukum penjara tiga bulan bagi setiap pertuduhan dan kesemua hukuman berjalan secara berasingan, bermula tarikh sabitan hari ini.

Tertuduh didakwa gagal mematuhi award TTPM bertarikh 27 Ogos 2024 yang mengarahkannya membayar tuntutan kepada tiga individu berjumlah keseluruhan RM26,400.

Kesalahan tersebut dilakukan di Pejabat Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Cawangan Tawau pada 13 September 2024 dan kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 117(1) Akta Perlindungan Pengguna 1999.

Mahkamah bagaimanapun membenarkan permohonan wanita itu untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman sementara menunggu rayuan di Mahkamah Tinggi, dengan jaminan RM5,000 serta dua penjamin tempatan.

Sementara itu, di hadapan Majistret Dayang Aidaku Amira Aminuddin, tertuduh turut berdepan satu pertuduhan mengikut akta sama kerana gagal mematuhi award TTPM berjumlah RM19,840 membabitkan seorang penuntut lain bagi tempoh sama.

Mahkamah menetapkan 5 Mei depan untuk sebutan semula kes.

Pada 16 Disember 2025, Norhayani turut dijatuhi hukuman penjara tiga bulan selepas didapati bersalah atas kesalahan sama.

Tiada ulasan: