"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Niat nak tular, akhirnya malu kaki sangkut di tiang

Agensi
FOTO tular di media sosial menunjukkan antara individu yang melakukan cabaran berkenaan.
FOTO tular di media sosial menunjukkan antara individu yang melakukan cabaran berkenaan.
Beijing: Seorang wanita warga China yang cuba meniru cabaran memanjat tiang lampu yang tular baru-baru ini, berdepan detik cemas apabila kakinya tersangkut dan terpaksa menghubungi polis untuk mendapatkan bantuan, lapor South China Morning Post.

Wanita yang dikenali sebagai Song dari wilayah Jiangsu, timur China itu sedang bersiar-siar di sini selepas makan malam apabila dia memutuskan untuk mencuba cabaran berkenaan.

Cabaran dikenali sebagai 'menyelamatkan diri' itu memerlukan peserta menyilangkan kaki pada tiang lampu dalam posisi duduk sebelum cuba melepaskan diri tanpa bantuan.

Walaupun kelihatan mudah, ramai peserta terkejut apabila mendapati mereka tidak dapat membuka semula silangan kaki berkenaan sebaik sahaja melakukannya.

Cabaran itu bertukar memalukan apabila beberapa peserta terpaksa meminta bantuan ahli keluarga, orang awam, penghantar makanan, dan juga polis.

Dalam kes Song, dia menjadi semakin tersangkut kuat pada tiang lampu itu apabila semakin kuat dia bergelut untuk melepaskan diri dari kedudukan itu.

Pihak polis yang tiba di lokasi kejadian terlebih dahulu menenangkan wanita itu sebelum melaraskan kedudukannya bagi membantu melepaskan silangan kakinya.

Song bernasib baik kerana tidak mengalami sebarang kecederaan serius dan hanya mengalami rasa kebas pada anggota badan selepas berjaya diselamatkan.

Beberapa video yang tular di media sosial tanah besar China menunjukkan terdapat individu yang berjaya melakukan cabaran itu dengan teknik yang sangat spesifik.

Peserta yang berjaya biasanya memusingkan badan secara perlahan-lahan di sekeliling tiang lampu untuk mencari posisi yang sesuai bagi membebaskan kaki yang tersilang.

Bagaimanapun, pegawai polis yang membantu menyelamatkan Song menegaskan bahawa cabaran tular seumpama itu membawa risiko keselamatan yang sangat tinggi dan tersembunyi.

Katanya, sendi lutut perlu sangat fleksibel untuk menampung berat seluruh badan ketika melakukan aksi berkenaan, manakala tekanan berterusan pada saluran darah boleh menyebabkan kerosakan tisu pada anggota bawah.

Tiada ulasan: