"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Kedah: Lelaki tular ditarik dari motosikal positif dadah, kata polis

FMT Reporters

Polis berkata suspek sebelum itu larikan diri ketika cuba ditahan polis dan menunggang motosikal secara bahaya.
polis pijak
Tangkap layar video tular menunjukkan seorang lelaki ditarik dari motosikalnya hingga terjatuh sebelum kepalanya dipijak.
PETALING JAYA: Seorang lelaki yang tular ditarik dari motosikal hingga terjatuh sebelum dikasari beberapa anggota polis dalam kejadian di Jalan Tunku Putra di Kulim, Kedah, disahkan positif dadah.

Timbalan Ketua Polis Kulim Tengku Mohd Faisal Tengku Yeng berkata siasatan awal mendapati anggota polis yang menjalankan rondaan cegah jenayah menahan suspek di Jalan Sungai Ular kira-kira 11 pagi tadi.

“Semasa polis cuba menahan suspek, berlaku pergelutan apabila suspek bertindak melawan anggota dengan menendang motosikal milik anggota polis sebelum melarikan diri.

“Suspek menunggang motosikal secara melulu, melawan arus dan membahayakan pengguna jalan raya lain,” katanya dalam kenyataan lapor Bernama.

Beliau berkata susulan itu, anggota polis melancarkan usaha mengesan suspek sejauh kira-kira 5km sebelum berjaya menahannya di lokasi kejadian.

“Hasil pemeriksaan ke atas motosikal yang ditunggang suspek menemukan dua bungkusan plastik lut sinar disyaki mengandungi air rebusan daun ketum,” katanya.

Beliau berkata ujian saringan awal air kencing terhadap suspek juga didapati positif dadah jenis methamphetamine.

Katanya, suspek berusia 32 tahun yang mempunyai satu rekod jenayah lampau dibawa ke balai polis untuk tindakan lanjut dan akan dibawa ke mahkamah bagi permohonan reman esok.

Kes disiasat di bawah Seksyen 30(3) Akta Racun 1952, Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 serta Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

“Sehubungan dengan itu, polis menasihati orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi negatif berkaitan kejadian itu,” katanya.

Terdahulu, satu rakaman video berdurasi 29 saat tular di media sosial memaparkan seorang lelaki ditarik dari motosikal sehingga terjatuh sebelum kepalanya dipijak.

Tiada ulasan: