"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Jakim pandang serius insiden jemaah dihalau dari surau

KOSMO!
Seorang pak cik yang singgah menunaikan solat di sebuah surau diminta beredar oleh ahli jawatankuasa surau berkenaan.
PETALING JAYA – Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) memandang serius insiden tular melibatkan tindakan menghalau seorang jemaah daripada berada di dalam surau selepas menunaikan solat Subuh baru-baru ini.

Dalam satu kenyataan hari ini, Ketua Pengarahnya, Datuk Dr. Sirajuddin Suhaimee berkata, tindakan sedemikian mencerminkan kegagalan dalam menghayati adab dan tatakelola pengurusan rumah ibadah umat Islam.

“Masjid dan surau adalah institusi Rahmah yang seharusnya menjadi lambang kasih sayang, toleransi, hikmah dan keterangkuman seperti yang ditekankan dalam semangat Malaysia Madani,” katanya.

Menurut beliau, Jakim menyambut baik kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) yang menggesa agar isu itu ditangani dengan hikmah dan penuh kebijaksanaan.

Tambahnya, masjid dan surau bukan sekadar tempat menunaikan ibadah, tetapi juga menjadi pusat pembangunan komuniti dan perpaduan umat Islam.

“Jakim komited menyuburkan nilai Masjid Rahmah melalui pendidikan, advokasi serta libat urus berterusan bersama pengurusan masjid, institusi agama negeri dan masyarakat,” katanya lagi.

Justeru, beliau menyeru agar pengurusan rumah ibadah di seluruh negara sentiasa mengutamakan akhlak Islamiah dalam menyantuni jemaah dan pengunjung agar suasana masjid terus kekal sebagai tempat yang mendamaikan serta menginsafkan – KOSMO! ONLINE.

Bayi lelaki dijumpai tepi jalan berhampiran masjid

MOHD YUNUS YAKKUB
Bayi berkenaan yang dijumpai berhampiran sebuah masjid di Kampung Api-Api, Bukit Rotan semalam.
KUALA SELANGOR – Seorang bayi lelaki berusia seminggu ditemui ditinggalkan di tepi jalan berhampiran sebuah masjid di Kampung Api-Api, Bukit Rotan di sini semalam.

Ketua Polis Daerah Kuala Selangor, Superintendan Azaharudin Tajudin berkata, penemuan bayi dilaporkan kira-kira pukul 9.11 malam selepas menerima panggilan daripada Hospital Sungai Buloh.

Katanya, hasil siasatan mendapati bayi tersebut dijumpai dalam beg plastik di lokasi kejadian oleh orang awam.

“Pemeriksaan mendapati bayi dalam keadaan cukup sifat dengan berat 2.13 kilogram.

“Dianggarkan usia bayi itu adalah kira-kira seminggu dalam keadaan tali pusat masih sempurna,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau memberitahu, bayi tersebut kini ditempatkan di Hospital Tanjong Karang bagi tujuan pemeriksaan.

Sehubungan itu, kata Azaharudin, polis membuka kertas siasatan mengikut Seksyen 317 Kanun Keseksaan.

“Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat diminta menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Siti Mazliah Azizi ditalian 017-6649100 atau Ibu Pejabat Polis Daerah ini ditalian 03-32891222,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE

Mohd Amar dicadang bertanding jawatan Timbalan Presiden Pas

Muhafandi Muhamad

Cadangan itu datangnya dari Ketua Penerangan Dewan Pemuda Pas Pengkalan Chepa, Mohamad Sazwan Mohd Sakri. - Astro AWANI

PENGKALAN CHEPA: Naib Presiden Pas, Datuk Mohd Amar Abdullah mendapat pencalonan untuk bertanding sebagai Timbalan Presiden Pas dari Dewan Pemuda Pas Kawasan Pengkalan Chepa dalam mesyuarat Agung kawasan kali ke 53 hari ini.

Cadangan itu datangnya dari Ketua Penerangan Dewan Pemuda Pas Pengkalan Chepa, Mohamad Sazwan Mohd Sakri yang kemudiannya mendapat sokongan dari Dewan Pemuda Pengkalan Chepa.

Pencalonan itu dibuat sebagai tanda sokongan penuh dan keyakinan terhadap kepimpinan beliau yang telah lama menabur bakti dalam saf perjuangan parti.

"Dewan Pemuda Pas Pengkalan Chepa dengan penuh rasa tanggungjawab mencadangkan agar Mohd Amar Abdullah dicalonkan untuk jawatan Timbalan Presiden Pas.

"Cadangan ini disandarkan kepada tiga asas utama, pertama pengalaman dan Kepimpinan, sebagai Naib Presiden Pas Pusat, Timbalan Pesuruhjaya Pas Kelantan dan bekas Timbalan Menteri Besar, beliau telah lama menjadi tonggak utama dalam pentadbiran negeri dan organisasi parti.

"Keduanya, Mohd Amar dilihat individu berilmu dan berwibawa, seorang tokoh yang dihormati, berwibawa, berilmu dan sentiasa tenang dalam berhujah. Suara beliau menjadi suara Islam yang diyakini, sama ada di medan politik mahupun masyarakat," katanya melalui satu kenyataan.

Tambahnya, memandangkan Kelantan sebagai kubu kuat panglima dan benteng Pas sejak sekian lama, sewajarnya tokoh yang berasal dari negeri itu diberi kepercayaan untuk membantu mengemudi parti di peringkat pusat.