"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Aktivis Rohingya, Noor Azizah didakwa burukkan Malaysia demi dana

Hafiz Ithnin
hafizithnin@mediaprima.com.my
NOOR Azizah. FOTO Agensi
Kuala Lumpur: Tindakan aktivis Rohingya, Noor Azizah yang kini menjadikan akaun Instagram miliknya sebagai akaun peribadi (private) disifatkan sebagai antara petunjuk bahawa tekanan daripada rakyat Malaysia memberi kesan.

Profesor Undang-Undang Antarabangsa, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Dr Salawati Mat Basir berkata, tindakan itu adalah petunjuk jelas selepas ramai rakyat Malaysia mengkritik individu berkenaan di media sosial, termasuk mengemukakan aduan kepada Marie Claire Australia yang menganjurkan acara Marie Claire Women of the Year Awards, lokasi Noor Azizah menyampaikan ucapan kontroversinya.

"Kalau kita tengok, selepas dia mengutuk kita, ramai orang menyerangnya di media sosial, termasuk membuat aduan kepada Mary Claire, kerajaan Australia dan platform media sosial yang berkaitan.

"Dia (Noor Azizah) tidak tahan dengan tekanan itu, sebab itulah dia bertindak menjadikan akaun media sosialnya sebagai akaun peribadi. Kalau kita biarkan sahaja, dia akan terus memburukkan Malaysia kerana dia mendapat keuntungan dengan berbuat demikian," katanya kepada Harian Metro di sini, hari ini.

Salawati berkata demikian selepas diminta mengulas hasil semakan Harian Metro mendapati akaun Instagram, Noor Azizah mula disetkan kepada mod private.

Malah, rakyat Malaysia di pelbagai platform media sosial tidak henti-henti mengecam aktivis berkenaan termasuk menjalankan promosi membuat aduan akaun sosial media Noor Azizah.

Salawati turut mendakwa individu berkenaan mempunyai hubungan dengan beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di Malaysia yang menurutnya menerima pembiayaan daripada pihak yang disifatkannya sebagai pro-Zionis.

"Apabila saya melihat maklumat yang dihantar kepada saya, ia kelihatan masuk akal. Pada pandangan saya, individu seperti ini memperoleh dana melalui cara sedemikian.

"Sebab itu mereka diberi ruang dan pengiktirafan. Itu adalah taktik yang biasa digunakan. Apabila individu seperti ini diketengahkan, masyarakat antarabangsa akan lebih bersimpati terhadap pelarian Rohingya.

"Semakin tinggi simpati yang diterima, semakin banyak undangan diperoleh dan semakin banyak dana yang diterima," katanya.

Katanya, Noor Azizah tidak membantu komuniti Rohingya seperti yang sering digambarkan.

"Saya dihubungi oleh komuniti Rohingya di Australia. Mereka mendakwa dia tidak membantu mereka, malah mengasingkan dirinya daripada komuniti Rohingya di sana.

"Jadi, di manakah bantuan yang dikatakan itu? Pada pengetahuan saya, tidak ada," katanya.

Mengulas dakwaan mengenai kaitan Noor Azizah dengan pihak pro-Zionis, Salawati berkata, dia percaya individu berkenaan menerima pembiayaan daripada pihak yang menyokong gerakan itu.

"Bukan Zionis secara langsung, tetapi pihak yang memberikan pembiayaan itu adalah pro-Zionis. Gerakan seperti itu akan memburukkan sesebuah negara supaya rakyatnya berpecah-belah dan keadaan menjadi tidak aman. Itu perkara biasa dalam strategi geopolitik.

"Tindakan Noor Azizah menjadikan akaun Instagram miliknya sebagai akaun peribadi menunjukkan tekanan daripada rakyat Malaysia memberi kesan. Kalau dia benar-benar berani dan ikhlas dengan pendiriannya, mengapa dia perlu menjadikan akaunnya sebagai akaun peribadi?" katanya.

Salawati turut mengulas tindakan rakyat Malaysia yang membuat aduan kepada University of Sydney selepas klip video ucapan lama Noor Azizah ketika majlis graduasi tular kembali susulan kontroversi anugerah Marie Claire.

"Rakyat Malaysia membuat aduan kepada universiti itu dan ia menerima kesannya. Mereka mungkin tidak menyangka reaksi daripada rakyat Asia akan menjadi sebegini," katanya.

Tiada ulasan: