"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Pasangan suami isteri dikejarkan ke hospital selepas tersalah makan cendawan beracun

Noorazura Abdul Rahman
am@hmetro.com.my
(GAMBAR KIRI) Status WhatsApp mangsa mengenai cendawan yang dikutip. (Gambar kanan) Pengerusi Briged Sukarela Yayasan Jariah Malaysia (BSYJM), Mahadzir Abd Hamid bersama pasukannya serta penduduk kampung membantu mengangkat mangsa yang dipercayai termakan cendawan beracun. FOTO ihsan BSYJM
(GAMBAR KIRI) Status WhatsApp mangsa mengenai cendawan yang dikutip. (Gambar kanan) Pengerusi Briged Sukarela Yayasan Jariah Malaysia (BSYJM), Mahadzir Abd Hamid bersama pasukannya serta penduduk kampung membantu mengangkat mangsa yang dipercayai termakan cendawan beracun. FOTO ihsan BSYJM
Sik: Sepasang suami isteri dikejarkan ke hospital selepas dipercayai termakan cendawan beracun yang dikutip berhampiran kandang lembu di rumah mereka di Rancangan Tanah Pinggir, Padang Besar, Mukim Jeneri, di sini, semalam.

Pengerusi Briged Sukarela Yayasan Jariah Malaysia (BSYJM), Mahadzir Abd Hamid berkata, pasangan dikenali sebagai Muhd Basir Abidudin Abd Razak dan isterinya, Intan Nabila Mazelam masing-masing berusia 28 tahun dipercayai memasak cendawan berkenaan sebagai hidangan tengah hari sebelum mengalami simptom keracunan makanan.

Katanya, pihak BSYJM menerima panggilan kecemasan kira-kira jam 4 petang sebelum bergegas ke lokasi.

"Ketika tiba di rumah mangsa, kami mendapati kedua-duanya dalam keadaan lemah dan tidak bermaya akibat muntah serta cirit-birit.

"Mereka berada di dalam bilik air dan tidak mampu bangun. Keadaan rumah juga dipenuhi muntah dan sisa najis sebelum anggota bertindak menyelamatkan mereka," katanya.

Mahadzir berkata, operasi membawa keluar pasangan itu agak mencabar kerana kedua-dua mangsa mempunyai berat badan melebihi 150 kilogram.

Katanya, enam anggota penyelamat serta penduduk kampung membantu bagi mengangkat mereka ke dalam dua ambulans sebelum dihantar ke Hospital Daerah Sik untuk rawatan lanjut.

"Saya difahamkan Intan Nabila sempat menghubungi ibu dan abang iparnya bagi mendapatkan kepastian sama ada cendawan yang dikutip itu selamat dimakan sebelum memasaknya.

"Bagaimanapun, mereka tersalah membuat pengecaman dan menyangka cendawan itu boleh dimakan, sedangkan ia sebenarnya beracun.

"Sebelum itu, saya turut difahamkan Intan Nabila ada memuat naik status di WhatsApp mengenai cendawan itu pada jam 10.30 pagi sebelum memasak hidangan itu sebagai hidangan makan tengah hari," katanya.

Tiada ulasan: