AMRAN ALI

DUA daripada suspek menunjukkan motosikal Yamaha Y15ZR yang dilarikan dari sebuah kebun durian di Anjung Gapam, Bemban, Jasin semalam.
JASIN – Tiga lelaki bersenjatakan parang dipercayai melarikan empat bakul durian jenis IOI dan sebuah motosikal Yamaha Y15ZR di sebuah kebun di Anjung Gapam, Bemban di sini semalam.
Ketua Polis Daerah Jasin, Superintendan Lee Robert berkata, kejadian dilaporkan berlaku kira-kira pukul 11.30 pagi apabila dua remaja berusia 17 dan 18 tahun yang menjaga kebun berkenaan didatangi suspek menaiki Perodua Myvi.
Katanya, suspek kemudian bertindak mengambil empat bakul besar durian jenis IOI sebelum memasukkannya ke dalam kereta.
“Apabila salah seorang remaja terbabit menegur tindakan mereka, seorang suspek bertindak memarahinya sebelum mengeluarkan sebilah parang bagi menakutkannya.
“Dalam masa sama, seorang lagi suspek melarikan sebuah motosikal Yamaha Y15ZR milik bapa kepada salah seorang mangsa sebelum mereka melarikan diri,” katanya kepada pemberita, hari ini.
Beliau berkata, hasil risikan dan maklumat diperoleh, sepasukan Bahagian Siasatan Jenayah Daerah Ibu Pejabat Polis Daerah Jasin berjaya mengesan dan menahan empat lelaki berusia antara 27 hingga 35 tahun.
Ujarnya, kesemua mereka ditahan dalam serbuan berasingan bermula pukul 12.30 tengah malam hingga 7.30 pagi tadi di Jasin, Bertam Hulu, Kampung Paya Rumput dan Masjid Tanah.
“Hasil tangkapan itu, polis merampas tiga telefon bimbit, sebuah Perodua Myvi, motosikal Yamaha Y15ZR yang dilarikan serta sebilah pisau lipat dipercayai digunakan ketika kejadian.
“Dua daripada suspek mengaku terlibat dalam kejadian tersebut, manakala seorang lagi dikenal pasti melalui pengecaman positif oleh mangsa sebagai individu yang melarikan motosikal,” katanya.
Robert berkata, suspek mendakwa pada awalnya diajak oleh seorang rakan yang masih bebas dikenali sebagai ‘Wan Linggi’ untuk mencuri sport rim sebelum bertindak melarikan motosikal apabila melihat kenderaan itu berada di lokasi.
Ujarnya, hasil saringan ujian air kencing mendapati tiga daripada suspek positif dadah jenis methamphetamine, selain mempunyai pelbagai rekod lampau jenayah dan narkotik. – KOSMO! ONLINE
Tiada ulasan:
Catat Ulasan