"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Khalid Samad mengadap Sultan S'gor

Ahli parlimen Shah Alam, Khalid Samad dititahkan mengadap Sultan Selangor hari ini - empat hari selepas aduan polis dibuat terhadapnya yang mendakwa beliau tidak menghormati baginda berhubung isu penggunaan kalimah Allah.

Ketika dihubungi pagi ini, Khalid mengesah beliau akan mengadap baginda hari ini.

Menurutnya, pertemuan itu dijangka selesai sebelum waktu solat Jumaat.

Ketika ditanya sebab beliau dititah mengadap, Khalid berkata, sebelum ini, beliau selaku ahli parlimen Shah Alam, telah memohon untuk mengadap bagi mendapatkan wawasan baginda mengenai pembangunan Shah Alam.

Katanya, beliau menghantar surat tersebut dua bulan lepas.

Bagaimanapun, beliau tidak menolak kemungkinan isu penggunaan kalimah Allah turut dibangkit dalam pertemuan tersebut.

Semalam, Khalid menafikan beliau tidak menghormati baginda apabila mempertikaikan penglibatan Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) dan Majlis Agama Islam Selangor (Mais) dalam perhimpunan di Masjid Negeri baru-baru berhubung isu tersebut.

Aduan polis terhadap Khalid itu dibuat oleh 16 NGO Isnin lalu berhubung isu tersebut.

-malaysiakini-

Wanita PKR saran 'ulama' Jais & Mais ditukar

Wanita PKR menyokong gesaan ahli parlimen Shah Alam Khalid Samad supaya pentadbiran Majlis Agama Islam Selangor (Mais) dan Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) ditukar dengan ulama yang "bebas daripada fahaman politik".

Ketuanya, Zuraida Kamaruddin berkata, gesaan Khalid itu senada dengan pandangannya yang pernah disuarakan pada 1 November lalu di Parlimen, termasuk meminta kedudukan Pengarah Jais Datuk Mohd Khusrin Munawi dinilai semula.

Dalam kenyataannya kepada
Malaysiakini hari ini, ahli parlimen Ampang itu membayangkan dua badan agama itu 'menganiayanya' berikutan cadangannya dua bulan lalu itu.

Beliau mendakwa, Jais menyenaraihitamkan namanya, termasuk mengeluarkannya sebagai ahli panel daripada sebuah forum keagamaan malam esok di Klang.

"Saya difahamkan oleh penganjur bahawa nama saya dikeluarkan oleh Jais tanpa alasan, dan mereka enggan menyatakannya dalam bentuk hitam-putih (bertulis)," katanya.

"Bagaimanapun, saya akan tetap hadir dan lihat apa yang terjadi. Saya percaya Jais kembali kepada saya ekoran penglibatan saya dalam kes bekas mufti Perlis Dr Mohd Asri Zainul Abidin."

Zuraida antara pemimpin politik yang menghadiri kuliah mufti kontroversi itu ketika beliau ditangkap atas dakwaan mengajar tanpa tauliah hujung tahun lalu.

Rancang mengadap Sultan Selangor

Zuraida selepas itu konsisten mengecam tindakan tersebut.

Zu

raida juga berkata, seperti Khalid, beliau juga merancang mengadap Sultan Selangor dalam masa terdekat bagi mencadangkan pertukaran pentadbiran Jais dan Mais.

Semalam, Khalid mengulangi desakan supaya pentadbiran Jais dan Mais ditukar dengan mereka yang berpengetahuan agama, yang bebas dari kefahaman politik selain politik Islam.

Katanya ramai ulama yang berpengalaman seperti Daeng Sanusi Daeng Mariok, Datuk Ismail Kamus dan Datuk Haron Din, boleh diberi peluang untuk menerajui pentadbiran baru.

Khalid yang juga bekas timbalan pesuruhjaya PAS Selangor mengadap Sultan Selangor pagi ini. Isu itu dijangka dibangkitkan dalam pertemuan empat mata dengan baginda.

-malaysiakini-

Kaji enakmen untuk halang puak berkepentingan cemar nama baik Sultan

Ismail Hashim
SHAH ALAM, 22 Jan:
Ahli Parlimen Shah Alam, Haji Khalid Samad menggesa satu kajian semula perlu dibuat terhadap Enakmen-enakmen Agama khususnya di Negeri Selangor yang dibuat pada 1988 dahulu di waktu kefahaman umat Islam begitu lemah sehingga perlu dilindungi sedemikian rupa.
Menurutnya, enakmen-enakmen merupakan undang-undang pentadbiran keagamaan dan bukan hukum yang bersifat qat’ie yang tidak boleh berubah, ia boleh dikaji dari masa ke semasa dan tidak ada sebab ia perlu diubah sekiranya kefahaman umat semakin mantap.

Khalid yang juga AJK Lajnah Politik PAS Pusat juga berkata, sudah tiba masanya Selangor memberikan peluang kepada tokoh-tokoh ilmuan agama diberi peluang dan kedudukan sewajarnya di dalam institusi keagamaan di Negeri Selangor dengan naiknya pentadbiran baharu.

Beliau berkata demikian ketika bercakap kepada media di Pusat Khidmatnya di Pusat Perniagaan Worldwide dekat sini, sebelum itu menafikan dakwaan 16 NGO yang disifatkan sebagai jelmaan baru terhadap dirinya.

Dalam dakwaan itu, mereka mendakwa Khalid terlibat mencabar, memperlekeh serta mempertikaikan kedudukan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah dan menghasut rakyat supaya tidak lagi menghormati baginda sebagai pemerintah dan ketua agama Islam.

“Saya menafikan tuduhan itu sekeras-kerasnya, pada hakikatnya saya bertujuan menghalang golongan berkepentingan daripada menggunakan institusi di bawah naungan Sultan Selangor untuk tujuan politik mereka.

“Peringatan dan teguran saya bertujuan menghalang nama baik baginda Sultan dari tercemar atas perbuatan tidak bertanggungjawab seperti itu, usaha mengheret institusi di bawah naungan Sultan ke dalam kancah politik dilakukan oleh golongan ini.

“Sekiranya 16 NGO berkenaan ingin membidas sesiapa demi menjaga nama baik Sultan, maka golongan itulah yang sepatutnya menjadi sasaran mereka, bukan diri saya,” tegasnya di dalam sidang media itu pagi tadi.

Khalid juga mengulangi keyakinannya bahawa kepentingan Islam dan umat Islam akan lebih terbela jika JAIS dan MAIS dipengerusikan oleh mereka yang berpengetahuan agama yang bebas dari kefahaman politik selain politik Islam.