"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Kaji enakmen untuk halang puak berkepentingan cemar nama baik Sultan

Ismail Hashim
SHAH ALAM, 22 Jan:
Ahli Parlimen Shah Alam, Haji Khalid Samad menggesa satu kajian semula perlu dibuat terhadap Enakmen-enakmen Agama khususnya di Negeri Selangor yang dibuat pada 1988 dahulu di waktu kefahaman umat Islam begitu lemah sehingga perlu dilindungi sedemikian rupa.
Menurutnya, enakmen-enakmen merupakan undang-undang pentadbiran keagamaan dan bukan hukum yang bersifat qat’ie yang tidak boleh berubah, ia boleh dikaji dari masa ke semasa dan tidak ada sebab ia perlu diubah sekiranya kefahaman umat semakin mantap.

Khalid yang juga AJK Lajnah Politik PAS Pusat juga berkata, sudah tiba masanya Selangor memberikan peluang kepada tokoh-tokoh ilmuan agama diberi peluang dan kedudukan sewajarnya di dalam institusi keagamaan di Negeri Selangor dengan naiknya pentadbiran baharu.

Beliau berkata demikian ketika bercakap kepada media di Pusat Khidmatnya di Pusat Perniagaan Worldwide dekat sini, sebelum itu menafikan dakwaan 16 NGO yang disifatkan sebagai jelmaan baru terhadap dirinya.

Dalam dakwaan itu, mereka mendakwa Khalid terlibat mencabar, memperlekeh serta mempertikaikan kedudukan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah dan menghasut rakyat supaya tidak lagi menghormati baginda sebagai pemerintah dan ketua agama Islam.

“Saya menafikan tuduhan itu sekeras-kerasnya, pada hakikatnya saya bertujuan menghalang golongan berkepentingan daripada menggunakan institusi di bawah naungan Sultan Selangor untuk tujuan politik mereka.

“Peringatan dan teguran saya bertujuan menghalang nama baik baginda Sultan dari tercemar atas perbuatan tidak bertanggungjawab seperti itu, usaha mengheret institusi di bawah naungan Sultan ke dalam kancah politik dilakukan oleh golongan ini.

“Sekiranya 16 NGO berkenaan ingin membidas sesiapa demi menjaga nama baik Sultan, maka golongan itulah yang sepatutnya menjadi sasaran mereka, bukan diri saya,” tegasnya di dalam sidang media itu pagi tadi.

Khalid juga mengulangi keyakinannya bahawa kepentingan Islam dan umat Islam akan lebih terbela jika JAIS dan MAIS dipengerusikan oleh mereka yang berpengetahuan agama yang bebas dari kefahaman politik selain politik Islam.

Tiada ulasan: