"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Anwar sahkan perbincangan Umno-PKR, buat sidang media petang ini

Malaysiakini 

Presiden PKR Anwar Ibrahim mengatakan bahawa terdapat perbincangan tidak rasmi antara partinya dan Umno mengenai kemungkinan kerjasama untuk pilihan raya umum (PRU) ke-15.

Anwar mengumumkan bahawa dia akan mengadakan sidang media hari ini pada pukul 4.30 petang di mana dia dijangka akan menyentuh isu tersebut.

Dia juga dijangka mengulas mengenai tindakan beberapa wakil rakyat PKR yang meninggalkan parti baru-baru ini.

Sumber parti mengesahkan dengan Malaysiakini bahawa perbincangan tidak rasmi antara kedua-dua pihak telah diadakan.

Difahamkan, kedua-dua parti tidak berpuas hati dengan parti Bersatu yang diterajui Perdana Menteri Muhyiddin Yassin yang menerima penyertaan sejumlah anggota parlimen yang berpaling tadah dari Umno dan PKR.

Dalam wawancara bersama Utusan Malaysia baru-baru ini, Anwar berkata bahawa kerjasama itu tidak lebih daripada sekadar untuk menyelamatkan negara daripada kebobrokan.

Dia menekankan bahawa dalam beberapa siri perbincangan tidak rasmi yang diadakan antara kedua-dua pihak menunjukkan perkembangan "positif" dan kedua-duanya berjaya mencapai persefahaman.

Anwar juga berkata bahawa objektif kerjasama untuk menubuhkan kerajaan baru di mana fokus kepada isu pemacuan ekonomi yang memberi manfaat kepada rakyat.

Dia berkata bahawa kenyataan beberapa pemimpin Umno agak lebih tegas dalam hal menyelamatkan ekonomi negara dan menolak kerajaan PN. Namun, dia tidak mendedahkan nama pemimpin-pemimpin Umno itu.

"Saya telah bersama Umno selama bertahun-tahun, mengapa? Kerana saya yakin dengan idealisme. Jadi jika kita meletakkan idealisme ini di landasan, saya rasa tidak akan ada masalah," katanya.

Timbalan Presiden Umno Mohamad Hasan bagaimanapun berkata bahawa dia tidak maklum mengenai perbincangan antara Umno dan PKR.

"Itu saya tak tahu, saya tak ada dan saya tak tahu," katanya secara ringkas kepada pemberita di Alor Gajah, semalam.

Ini selepas dia menghadiri mesyuarat tertutup bersama pimpinan Umno Melaka yang turut dihadiri presidennya, Ahmad Zahid Hamidi.

Spekulasi mengenai kerjasama PKR-Umno bukan isu baru. Pada bulan Januari, Annuar Musa, yang dipecat dari jawatan setiausaha agung BN, mendakwa bahawa Zahid secara "hitam putih" menyokong Anwar dalam usaha menjatuhkan kerajaan.

Selain itu, Annuar juga menuduh Zahid bersekongkol dengan DAP dalam usaha untuk membentuk gabungan politik baru.

Awal bulan ini, DAP yang merupakan sekutu PKR dalam Pakatan Harapan telah menegaskan bahawa tidak akan ada kerjasama antara parti itu dan Umno.

Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng berkata, parti itu konsisten dengan pendiriannya tetapi bersedia untuk bekerjasama dengan Umno sekiranya memberi manfaat kepada rakyat.

"Selagi ia memberi manfaat kepada masyarakat, kami bersedia menyokong. Untuk tujuan tertentu berkaitan dengan kepentingan rakyat," kata Lim.

Adakah akar umbi Umno akan sokong perjanjian dengan PKR?

Minderjeet Kaur

PETALING JAYA: Bicara mengenai penjajaran politik baharu antara Umno dan PKR dilihat sebagai bukti bahawa dalam politik, tiada permusuhan yang kekal, sementara sebilangan penganalisis politik yakin ahli akar umbi Umno mungkin tidak menerima gabungan seperti itu.

Ahli strategi politik, Syed Arabi Idid berkata, pemimpin PKR, Anwar Ibrahim perlu mengatasi beberapa persepsi masyarakat terhadap beliau, berikutan dakwaannya September lalu bahawa beliau mempunyai sokongan majoriti di Dewan Rakyat dan boleh membentuk kerajaan.

“Anwar mungkin dianggap sekali lagi membuat dakwaan, kali ini untuk menghalang Ahli Parlimen dalam partinya melompat ke Perikatan Nasional,” kata Syed Arabi.

Namun, sekiranya Anwar dilihat bersama presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi, maka beliau boleh dianggap mempunyai sokongan nyata, tambahnya.

Bagaimanapun, beliau berkata Umno dan PKR perlu mencari titik persamaan yang boleh diterima akar umbi Umno.

“Sebaik sahaja para pemimpin jumpa titik persamaan itu, mereka perlu merujuk kepada akar umbi,” tambah beliau.

September lalu, Zahid memberitahu Ahli Parlimen Umno beliau tidak akan melarang mereka menyokong Anwar sebagai perdana menteri.

Ini dinyatakan selepas Anwar mendakwa beliau mempunyai majoriti kukuh untuk membentuk kerajaan baharu, tujuh bulan selepas Perikatan Nasional mengambil alih tampuk pemerintahan.

Anwar berkata, Ahli Parlimen pelbagai parti yang tidak senang dengan kepemimpinan yang sedia ada telah mendekati beliau.

Bagaimanapun, penganalisis politik Awang Azman Pawi memberitahu FMT, tidak ada musuh tetap dalam politik seperti yang ditunjukkan oleh Dr Mahathir Mohamad yang bekerjasama dengan DAP dan PKR.

“Kenapa Umno tidak boleh bekerjasama dengan PKR?” soal beliau.

Lagipun, PAS biasa menggambarkan ahli Umno sebagai “kafir”, tetapi kini “tidur sebantal” dengan Umno melalui Muafakat Nasional, malah bekerjasama dengan DAP dalam gabungan Pakatan Rakyat, tambah beliau.

Seorang penganalisis politik lain, Azmi Hassan, berkata, pemimpin Umno Najib Razak dan Zahid mungkin telah bersetuju untuk menjalin hubungan dengan PKR, dan masih perlu dilihat sama ada ahli Umno yang lain akan bersetuju kerana PKR adalah rakan kongsi DAP dalam Pakatan Harapan.

“Ada faktor DAP yang perlu dipertimbangkan. Akar umbi Umno tidak akan setuju. (Prinsip) untuk tidak bekerjasama dengan DAP telah menjadi darah daging Umno,” kata beliau.

Azmi menambah, DAP mungkin mahu bekerjasama dengan Umno selepas peristiwa yang menjatuhkan PPBM Perak.

“DAP Perak sekarang tahu bahawa mereka boleh bekerjasama dengan Umno dalam hal-hal tertentu,” kata beliau.

Namun, Azmi meramalkan kerjasama Umno dan PKR mungkin tidak akan berfungsi kerana akar umbi berat hati dengan DAP, menyebabkan Umno akhirnya berjabat tangan dengan PPBM dan PAS selepas isu peruntukan kerusi untuk pilihan raya umum akan datang diselesaikan.

Baru-baru ini, tiga Ahli Parlimen PKR – Larry Sng (Julau), Steven Choong (Tebrau) dan Xavier Jayakumar (Kuala Langat) – meninggalkan parti itu dan menyatakan sokongan mereka terhadap Perdana Menteri Muhyiddin Yassin.

‘Tawaran baru’ diterima Pas menawarkan ‘katak’, SOP Covid-19 celaru

FAZLI RADZI

Rata-rata warga maya mengecam pendirian Pas susulan kenyataan terbaharu presiden parti itu yang menyambut baik saranan Perdana Menteri bahawa Perikatan Nasional (PN) adalah suatu “tawaran baharu” kepada rakyat Malaysia.

Ramai yang mempersoalkan tawaran yang menerima reaksi positif Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang juga Ahli Parlimen Marang itu termasuk mengaitkan kecelaruan pelaksanaan kompaun RM10,000 kepada individu yang melanggar Prosedur Operasi Standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Orang ramai juga menempelak ‘tawaran baru’ yang konon dimiliki kerajaan PN selepas merampas kerajaan Pakatan Harapan (PH) lebih setahun lalu menerusi Langkah Sheraton itu.

Hal ini memandangkan PN dilihat menerima seorang demi seorang wakil rakyat PH yang lompat parti atau digelar menjadi ‘katak’ ketika semakin menghampiri Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Pendirian Abdul Hadi berjawatan Duta Khas Perdana Menteri ke Timur Tengah itu yang kononnya menolak pendekatan ekstrem dalam masyarakat majmuk di negara ini juga dipersoal selepas isu berkaitan umat Islam gagal ditangani.

“Tawaran apa? SOP Covid bercelaru. Pelaksanaan tidak adil. Isu melibatkan umat Islam tidak selesai. Yang melompat katak diraikan,” kata Fuad Syazwan Ramli.

“Tawaran apa? SOP Covid bercelaru. Pelaksanaan tidak adil. Isu melibatkan umat Islam tidak selesai.

“Yang melompat katak diraikan,” tempelak Fuad Syazwan Ramli di ruangan komentar hantaran Abdul Hadi di Facebook berkenaan ”tawaran baru’ itu.

Semalam, Abdul Hadi menerusi kenyataan media ringkas tiga perenggan itu menyebut pendirian Pas berhubung ‘tawaran baru’ kepada rakyat Malaysia itu demi memastikan kebajikan rakyat terjamin, mewujudkan kestabilan politik, kemakmuran ekonomi dan mengekalkan keharmonian antara kaum.

Walau bagaimanapun, reaksi umum diterima Abdul Hadi dilihat lebih banyak mempersoal ‘tawaran baru’ disebutkan bekas Menteri Besar Terengganu sepenggal itu.

“Tawaran baru? PN ialah parti menawarkan katak adalah. Nak sembang tawaran PRU15 konon,” tegas Nurul Ashikin.

Mati dalam kolam

Ada juga warga maya yang membidas sikap Pas yang dilihat berada dalam dua gabungan parti politik atau ‘dua kolam’ seperti cuba mengambil peluang dalam proses rundingan pembahagian kerusi bagi menghadapi PRU15.

Sebelum ini, Pas dikecam teruk kerana dianggap mengambil kesempatan apabila bergabung bersama Perikatan Nasional (PN) dan Muafakat Nasional (MN).

“PN dia (Pas) mahu. MN pun dia mahu. Semua kolam dia nak terjun. Akhirnya, mati lemas seekor dalam (kolam) tu,” selar pengguna Facebook, Ku Man.

Sikap Abdul Hadi yang mesra kepada Bersatu selepas Pas dilantik oleh Pengerusi PN, Muhyiddin sebagai Pengerusi Badan Perhubungan Negeri (BPN) PN di empat negeri iaitu Terengganu, Kelantan, Kedah dan Perlis juga dihujani kritikan.

Warga maya turut mempersoal pendirian Abdul Hadi berhubung gelaran Parti Ajaran Sesat yang pernah disebut oleh Muhyiddin sendiri ketika menjadi Timbalan Presiden Umno sebulan sebelum PRU ke-13 pada 2013.

“Bukankah PM pernah berkata Pas Parti Ajaran Sesat? Sudah tarik balik? Atau Pas tidak kisah dengan semua itu asalkan dapat jawatan?” sinis Md Shahrolnizam Ahmad pula.

Pas pada masa ini menyumbang 18 kerusi Parlimen dalam kerajaan PN dan bergabung dengan Umno menerusi MN sebelum mendakap Bersatu.

Walau bagaimanapun, Umno masih berkeras menolak kerjasama dengan Bersatu bagi menghadapi PRU15 selepas wakil rakyat parti tulang belakang Barisan Nasional (BN) itu melompat ke dalam Bersatu selepas PRU14.