Bernama
Pemilik kenderaan mengaku memasang logo itu dan lampu mata arah untuk kegunaan peribadi serta mendakwa tidak tahu ia satu kesalahan.

Tangkap layar klip video menunjukkan seorang lelaki warga Pakistan yang didakwa menggunakan logo rasmi Jabatan Imigresen dan lampu mata arah pada sebuah kenderaan.
PUTRAJAYA: Jabatan Imigresen menahan seorang warga Pakistan dipercayai menggunakan logo rasmi jabatan itu dan lampu mata arah pada sebuah kenderaan dalam tempoh kurang 24 jam selepas video kejadian itu tular di media sosial.
Ketua Pengarah Imigresen, Zakaria Shaaban, berkata lelaki itu ditahan dalam operasi khas pada 4.30 petang semalam di PV3 Platinum Hill Condominium, Setapak susulan risikan berdasarkan video tular yang memaparkan sebuah kenderaan berlogo Jabatan Imigresen digunakan warga asing.
Semasa pemeriksaan di premis itu, beliau berkata, pihaknya turut menahan seorang wanita warga Indonesia yang didapati tinggal lebih masa di Malaysia serta menemui dua pasport Indonesia dipercayai milik individu lain dalam simpanan lelaki terbabit.
“Hasil siasatan awal terhadap individu tersebut mendapati video tular berkenaan dirakam pada April 2025 dan baru dimuat naik dalam status WhatsApp oleh isterinya pada 7 Ogos lepas. Isteri individu itu berada di Indonesia dan video tersebut dimuat naik ketika isterinya berada di negara itu,” katanya dalam kenyataan.
Menurutnya, lelaki Pakistan itu ditahan kerana dipercayai melakukan kesalahan di bawah Seksyen 12(1)(f) Akta Pasport 1966 dan Akta Imigresen 1959/63, manakala wanita Indonesia terbabit ditahan mengikut Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen.
Susulan tangkapan itu, jelasnya, pasukan operasi mengesan sebuah Toyota Hilux yang dipercayai digunakan dalam video tular berkenaan di sebuah premis cuci kenderaan di Jalan Kuching, Kuala Lumpur.
Zakaria berkata, pemilik kenderaan itu yang juga warga Pakistan ditahan bersama lapan pekerja asing terdiri daripada empat lelaki Bangladesh, tiga lelaki Pakistan dan seorang warga India.
Katanya, pemilik kenderaan itu disiasat mengikut Seksyen 55B Akta Imigresen, manakala lapan pekerja terbabit disyaki melakukan kesalahan di bawah Seksyen 6(1)(c) akta sama kerana tidak memiliki dokumen perjalanan sah.
Menurutnya, pemilik kenderaan mengaku memasang logo Jabatan Imigresen dan lampu mata arah untuk kegunaan peribadi tanpa sebarang tujuan rasmi serta mendakwa tidak mengetahui perbuatan itu satu kesalahan di sisi undang-undang.
Beliau berkata, pemilik itu juga mendakwa logo dan lampu mata arah berkenaan telah ditanggalkan sebelum video itu tular.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan