"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Kelantan: Pekerja kilang didakwa ‘sentuh’ wanita dalam stor

MUHAMMAD AYMAN GHAFFA
Anggota polis membawa Muhammad Zamri untuk didakwa atas pertuduhan menggunakan kekerasan untuk mencabul kehormatan seorang wanita di Mahkamah Majistret Machang hari ini. Foto oleh KAMARUL BISMI KAMARUZAMAN / KOSMO!
MACHANG – Seorang pekerja kilang mengaku bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan menggunakan kekerasan untuk mencabul kehormatan seorang wanita di dalam stor sebuah kilang pengedaran makanan dan minuman dekat Kuala Krai pada minggu lalu.

Tertuduh, Muhammad Zamri Abdullah, 24, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Majistret Rais Imran Hamid.

Mengikut pertuduhan, lelaki yang berstatus duda itu didakwa menggunakan kekerasan jenayah kepada seorang wanita berusia 22 tahun dengan bermaksud untuk mencabul kehormatan.

Perbuatan itu dilakukan di dalam stor sebuah kilang di Jalan Stapunal Batu Jong dekat Kuala Krai kira-kira pukul 1.40 tengah hari pada 3 Ogos lalu.

Pertuduhan terhadap Muhammad Zamri dikemukakan mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun atau denda atau sebat atau mana-mana daripada dua hukuman tersebut jika disabitkan kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Hazim Aqiffullah Mohd. Amran, manakala tertuduh diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan, Norfaraliana Othman.

Terdahulu, Ahmad Hazim mencadangkan jaminan RM7,000 dengan seorang penjamin sementara menunggu tarikh hukuman.

Norfaraliana dalam rayuannya memohon ikat jamin yang tidak membebankan apabila jaminan bukan bersifat hukuman, tetapi untuk memastikan kehadiran tertuduh ke mahkamah.

“Tertuduh bekerja di sebuah kilang dengan pendapatan RM1,700 sebulan selain perlu menyara ibu bapa yang sudah uzur dan seorang anak berusia setahun enam bulan,” katanya.

Mahkamah menetapkan jaminan RM5,000 dengan seorang penjamin termasuk syarat tambahan iaitu tertuduh atau ejennya dilarang menghampiri, menghubungi, kacau ganggu mangsa atau mana-mana saksi pendakwaan sehingga kes selesai.

Selain itu, mahkamah turut memerintahkan ikat jamin dinaikkan atau dilucutkan sekiranya gagal mematuhi syarat tersebut.

Mahkamah menetapkan 11 Ogos ini untuk prosiding jatuh hukum dan tertuduh tidak membayar jaminan tersebut. – KOSMO! ONLINE

Tiada ulasan: