"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

31 individu terbabit nahas bas ekspres, dua lori di Lebuhraya PLUS dekat Hulu Selangor

Amirul Aiman Hamsuddin
am@hmetro.com.my

ANTARA kenderaan terbabit kemalangan berkenaan. FOTO Ihsan JBPM Selangor
Shah Alam: Seramai 31 individu terbabit kemalangan tiga kenderaan di Kilometer 433 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) arah selatan dekat Hulu Selangor, awal pagi hari ini.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ahmad Mukhlis Mukhtar berkata, pihaknya menerima panggilan pada 5.12 pagi.

Beliau berkata, sepasukan 16 anggota bersama jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bukit Sentosa dan Rawang bergegas ke lokasi kejadian.

"Menurut laporan awal, nahas membabitkan bas ekspres, lori 10 tan milik sebuah syarikat keselamatan dan treler.

"Di dalam bas ekspres, mangsa terdiri daripada 14 lelaki, lima wanita, tujuh kanak-kanak dan dua pemandu.

"Seorang daripada pemandu iaitu lelaki berusia 39 tahun cedera di kaki dan berjaya dikeluarkan anggota bomba pada 6.05 pagi, manakala beberapa mangsa lain cedera ringan," katanya dalam satu kenyataan.

Ahmad Mukhlis berkata, bagi lori 10 tan pula pemandunya iaitu seorang lelaki warga tempatan didapati tersepit, dan belum dikenal pasti status kecederaan.

"Kerja-kerja mengeluarkan mangsa sedang dijalankan. Sementara kelindannya iaitu lelaki berusia 39 tahun hanya cedera ringan," katanya.

Manakala untuk treler pula, beliau memaklumkan pemandunya hanya cedera ringan di bahagian leher.

Jelasnya, kesemua mangsa diserahkan kepada pihak Kementerian Kesihatan (KKM) untuk tindakan lanjut.

Ibu tunggal maut dikelar pada leher

NOOR HASLIZA NUSI
Anggota polis mengangkat mayat mangsa yang dipercayai dibunuh di Flat Sri Murni, Butterworth, hari ini
SEBERANG PERAI – Seorang ibu tunggal ditemukan maut selepas dipercayai dikelar pada leher dalam kejadian di rumahnya di Flat Sri Murni, Sungai Dua, Butterworth di sini, hari ini.

Mayat mangsa berbangsa India berusia 41 tahun itu dijumpai terbaring dalam keadaan berlumuran darah di sebuah bilik tidur kediamannya yang terletak di aras satu flat berkenaan.

Penemuan mayat mangsa dipercayai selepas jirannya memaklumkan kejadian berlaku kepada pihak polis tengah hari tadi.

Difahamkan mangsa tinggal di kediaman itu bersama seorang anak lelakinya berusia 15 tahun.

Sementara itu, Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Azizee Ismail mengesahkan kejadian tersebut dan memberitahu pihaknya masih mengumpul maklumat mengenai motif sebenar kejadian berlaku. -KOSMO! ONLINE

Penceramah bebas dipenjara 10 hari gagal bayar hutang perkahwinan bekas isteri ketiga

Raja Noraina Raja Rahim
rnoraina@hmetro.com.my
FARIDUL Firdaus diiringi pegawai penguat kuasa selepas dijatuhi hukuman penjara 10 hari di sini, kerana gagal membayar hutang perkahwinan bekas isteri ketiganya. FOTO NSTP
FARIDUL Firdaus diiringi pegawai penguat kuasa selepas dijatuhi hukuman penjara 10 hari di sini, kerana gagal membayar hutang perkahwinan bekas isteri ketiganya. FOTO NSTP
Gombak: Penceramah bebas kontroversi, Ustaz Faridul Firdaus Zaulkapli dijatuhi hukuman penjara 10 hari oleh Mahkamah Rendah Syariah di sini, hari ini atas kesalahan gagal membayar hutang perkahwinan bekas isteri ketiganya berjumlah RM120,000 sejak tiga tahun lalu.

Hukuman itu diputuskan Hakim Syarie Mohd Faizal Habib yang menolak alasan penghutang penghakiman atau defendan, Faridul Firdaus, 40, selepas meneliti fakta, dokumen dan hujah kedua-dua pihak.

Beliau turut memerintahkan defendan membayar kos prosiding sebanyak RM3,000 kepada bekas isteri ketiganya selaku plaintif, Norhasyimah Mohamed Arip, 44.

Ketika membacakan keputusan itu, Mohd Faizal berkata, alasan beban ekonomi kronik yang diberikan defendan adalah bersifat penafian semata-mata.

Katanya, berdasarkan eksibit dikemukakan mendapati defendan mempunyai pendapatan bulanan yang ditunjukkan dalam penyata syarikat miliknya jelas membuktikan bahawa beliau mempunyai sumber dan keupayaan kewangan untuk menjelaskan pembayaran penghakiman mahkamah itu.

"Walaupun bergantung kepada sumber pendapatan ceramah dan tauliahnya sudah ditarik, penghutang kehakiman membuat pengakuan bahawa beliau masih berceramah di tempat awam selepas itu.

"Penghutang kehakiman yang menanggung tiga isteri juga gagal membuktikan perbelanjaan persekolahan 10 anaknya kerana mahkamah mendapati anaknya menjalani pembelajaran di rumah (home schooling) dan diajar sendiri oleh isteri-isterinya.

"Namun, mahkamah memuji usaha penghutang kehakiman menanggung sewa rumah kedua ibu bapanya untuk keselesaan walaupun mempunyai rumah sendiri di Taman Dato Harun. Tetapi itu sekadar ihsan sedangkan membayar hutang adalah kewajipan kepada penghutang," katanya.

Plaintif diwakili Peguam Syarie Musa Awang manakala defendan tidak diwakili peguam.

Penghakiman dibuat mengikut Seksyen 179 Enakmen Tatacara Mal Mahkamah Syariah Negeri Selangor 2003.

Mahkamah sebelum ini memerintahkan defendan membayar hutang berkenaan secara ansuran sebanyak RM40,000 selama tiga bulan bermula Oktober hingga Disember 2023, namun defendan gagal membuat bayaran itu.

Permohonan plaintif itu rentetan daripada Penghakiman Persetujuan dan Saman Penghutang Penghakiman (SPP) terhadap defendan untuk membayar hutang perkahwinan namun defendan ingkar.

Sementara itu, Musa berkata, defendan dua kali ingkar penghakiman menyebabkan mahkamah memerintahkan hukuman penjara selama 10 hari.

Beliau berkata, bagaimanapun defendan masih perlu membayar hutang berkenaan selepas selesai menjalani hukuman itu.

Pada 16 Julai 2025, Faridul Firdaus didenda RM2,800 oleh Mahkamah Rendah Syariah Shah Alam atas pertuduhan mengajar agama Islam tanpa tauliah.