Raja Noraina Raja Rahim
rnoraina@hmetro.com.my

FARIDUL Firdaus diiringi pegawai penguat kuasa selepas dijatuhi hukuman penjara 10 hari di sini, kerana gagal membayar hutang perkahwinan bekas isteri ketiganya. FOTO NSTP
Gombak: Penceramah bebas kontroversi, Ustaz Faridul Firdaus Zaulkapli dijatuhi hukuman penjara 10 hari oleh Mahkamah Rendah Syariah di sini, hari ini atas kesalahan gagal membayar hutang perkahwinan bekas isteri ketiganya berjumlah RM120,000 sejak tiga tahun lalu.
Hukuman itu diputuskan Hakim Syarie Mohd Faizal Habib yang menolak alasan penghutang penghakiman atau defendan, Faridul Firdaus, 40, selepas meneliti fakta, dokumen dan hujah kedua-dua pihak.
Beliau turut memerintahkan defendan membayar kos prosiding sebanyak RM3,000 kepada bekas isteri ketiganya selaku plaintif, Norhasyimah Mohamed Arip, 44.
Ketika membacakan keputusan itu, Mohd Faizal berkata, alasan beban ekonomi kronik yang diberikan defendan adalah bersifat penafian semata-mata.
Katanya, berdasarkan eksibit dikemukakan mendapati defendan mempunyai pendapatan bulanan yang ditunjukkan dalam penyata syarikat miliknya jelas membuktikan bahawa beliau mempunyai sumber dan keupayaan kewangan untuk menjelaskan pembayaran penghakiman mahkamah itu.
"Walaupun bergantung kepada sumber pendapatan ceramah dan tauliahnya sudah ditarik, penghutang kehakiman membuat pengakuan bahawa beliau masih berceramah di tempat awam selepas itu.
"Penghutang kehakiman yang menanggung tiga isteri juga gagal membuktikan perbelanjaan persekolahan 10 anaknya kerana mahkamah mendapati anaknya menjalani pembelajaran di rumah (home schooling) dan diajar sendiri oleh isteri-isterinya.
"Namun, mahkamah memuji usaha penghutang kehakiman menanggung sewa rumah kedua ibu bapanya untuk keselesaan walaupun mempunyai rumah sendiri di Taman Dato Harun. Tetapi itu sekadar ihsan sedangkan membayar hutang adalah kewajipan kepada penghutang," katanya.
Plaintif diwakili Peguam Syarie Musa Awang manakala defendan tidak diwakili peguam.
Penghakiman dibuat mengikut Seksyen 179 Enakmen Tatacara Mal Mahkamah Syariah Negeri Selangor 2003.
Mahkamah sebelum ini memerintahkan defendan membayar hutang berkenaan secara ansuran sebanyak RM40,000 selama tiga bulan bermula Oktober hingga Disember 2023, namun defendan gagal membuat bayaran itu.
Permohonan plaintif itu rentetan daripada Penghakiman Persetujuan dan Saman Penghutang Penghakiman (SPP) terhadap defendan untuk membayar hutang perkahwinan namun defendan ingkar.
Sementara itu, Musa berkata, defendan dua kali ingkar penghakiman menyebabkan mahkamah memerintahkan hukuman penjara selama 10 hari.
Beliau berkata, bagaimanapun defendan masih perlu membayar hutang berkenaan selepas selesai menjalani hukuman itu.
Pada 16 Julai 2025, Faridul Firdaus didenda RM2,800 oleh Mahkamah Rendah Syariah Shah Alam atas pertuduhan mengajar agama Islam tanpa tauliah.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan