"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Suami isteri didakwa aniaya budak hingga cedera

Bernama

KUALA LUMPUR: Suami isteri mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen atas pertuduhan menganiaya seorang kanak-kanak perempuan berusia tiga tahun sehingga menyebabkan kecederaan fizikal, bulan lalu.

Pengawal kelab malam atau ‘bouncer’ Hamzi Amni Zamali, 40, dan suri rumah, Nurazwani Ahmad Rosli, 29, didakwa bersama-sama sebagai orang memelihara kanak-kanak itu menganiaya mangsa sehingga menyebabkan kecederaan fizikal di sebuah unit rumah pangsa kos rendah di Bandar Tasik Selatan di sini pada 23 Mei 2026.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001 dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara maksimum 20 tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Ravindejit Kaur tidak menawarkan jaminan terhadap kedua-dua tertuduh atas faktor keseriusan kes yang melibatkan kanak-kanak, iaitu anak kandung kepada Nurazwani.

Bagaimanapun, jika mahkamah membenarkan jaminan, Ravindejit mencadangkan jumlah RM30,000 bagi setiap tertuduh dengan syarat tambahan melapor diri dua kali sebulan di balai polis berdekatan.

“Untuk maklumat mahkamah tertuduh pertama (Hamzi) mempunyai banyak rekod lampau termasuk rogol, samun dan rompak. Oleh itu, pihak pendakwaan memohon agar mangsa dalam kes ini tidak tinggal serumah dengan kedua-dua tertuduh,” katanya.

Hamzi yang juga bapa tiri mangsa dan Nurazwani tidak diwakili peguam merayu jumlah jaminan terhadap mereka dikurangkan dengan alasan pasangan itu perlu menanggung keluarga di kampung.

Hakim Siti Shakirah Mohtarudin membenarkan setiap tertuduh diikat jamin RM20,000 dengan seorang penjamin dan syarat tambahan melapor diri dua kali sebulan di balai polis berdekatan serta dilarang mendekati mangsa sehingga kes selesai.

Mahkamah menetapkan 13 Julai ini untuk sebutan kes bagi serahan dokumen dan lantikan peguam.

Malaria bawaan Rohingya 'serang' Terangganu

Mohd Ishak Abdillah Ngah
am@hmetro.com.my

Kuala Terengganu: Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu mengeluarkan amaran tinggi susulan peningkatan kes malaria dalam kalangan warga Rohingya di negeri ini.

Sektor Kawalan Penyakit Bawaan Vektor, Jabatan kesihatan Negeri Terengganu (JKNT) setakat ini menerima 17 kes malaria dengan 10 daripadanya membabitkan jangkitan malaria jenis Plasmodium vivax dalam kalangan warga Rohingya kategori import.

Kes terbaharu malaria dikesan di daerah Dungun dan Kuala Nerus.

Hasil siasatan mendapati semua kes berkenaan dipercayai membabitkan individu yang memasuki negara ini secara tidak sah, selain maklumat berkaitan pergerakan mereka sukar diperoleh.

Sehubungan itu, semua hospital, klinik kesihatan dan klinik desa di Terengganu diarahkan mempergiat aktiviti saringan melalui pendekatan Active Case Detection (ACD) dan Passive Case Detection (PCD).

Langkah ini termasuk menjalankan pemeriksaan terhadap semua warga Rohingya yang hadir ke fasiliti kesihatan, termasuk ibu mengandung dan individu yang telah lama berada di Malaysia.

Pihak berkuasa kesihatan turut menegaskan tindakan segera perlu diambil bagi membendung penularan jangkitan kepada masyarakat tempatan.

Terengganu: Lelaki Rohingya langgar maut penunggang Yamaha RXZ didakwa

NURSYASYA NADHIRAH ZABIDI
Shah Dullah (kiri) didakwa memandu berbahaya sehingga menyebabkan kematian penunggang motosikal Yamaha RXZ di Mahkamah Majistret Marang hari ini.
MARANG – Seorang lelaki Rohingya dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan memandu secara berbahaya sehingga menyebabkan kematian seorang penunggang motosikal di Kampung Rusila, di sini pada Hari Raya Aidiladha baru-baru ini.

Tertuduh, Shah Dullah Abdul Hashim, 20, membuat pengakuan tidak bersalah sebaik pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Nur Athirah Hashim.

Berdasarkan pertuduhan, Shah Dullah didakwa memandu kereta jenis Proton Saga secara berbahaya kepada orang awam.

Perbuatan tertuduh itu didakwa menyebabkan kemalangan membabitkan sebuah motosikal Yamaha RXZ ditunggang mangsa, Saifullah Isyraf Shamsudin, 27, yang disahkan meninggal dunia pada 2 Jun lalu.

Dia didakwa mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang memperuntukkan hukuman penjara antara lima hingga 10 tahun serta denda RM20,000 hingga RM50,000 jika sabit kesalahan selain hilang kelayakan memegang lesen memandu.

Kosmo! hari ini melaporkan Shah Dullah yang memandu kereta Proton Saya telah merempuh sebuah motosikal Yamaha RXZ ditunggangi Saifullah Isyraf.

Impak rempuhan itu menyebabkan mangsa cedera parah sebelum meninggal dunia sewaktu menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Sultanah Nur Zahirah, Kuala Terengganu pada kelmarin. – KOSMO! ONLINE