"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Guru agama didakwa 8 tuduhan amang seksual, cabul pelajar

FMT Reporters

PETALING JAYA: Seorang guru agama didakwa di Mahkamah Sesyen Butterworth hari ini atas lapan pertuduhan amang seksual fizikal dan mencabul kehormatan beberapa pelajar lelaki antara Mei 2023 hingga Januari lalu.

Tertuduh, Ahmad Fahmi Haron, 52, bagaimanapun mengaku tidak bersalah terhadap semua pertuduhan yang dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Ooi Sheow Yean.

Mengikut pertuduhan pertama, dia didakwa melakukan amang seksual fizikal dengan memegang dan mengusap kemaluan seorang pelajar lelaki berusia 15 tahun di sebuah sekolah dalam daerah Seberang Perai Utara (SPU) antara April hingga Mei 2024.

Dia didakwa melakukan perbuatan itu mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang memperuntukkan hukuman penjara hingga 20 tahun dan boleh juga dikenakan hukuman sebat, jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan kedua hingga kelapan, dia didakwa menggunakan kekerasan jenayah terhadap enam pelajar lelaki berusia antara 13 hingga 17 tahun secara berasingan dengan mengusap punggung, paha, tangan dan pipi serta meraba kemaluan mangsa tanpa kerelaan mereka dengan niat mencabul kehormatan.

Semua kesalahan tersebut didakwa dilakukan di sebuah bilik dan kantin sekolah dengan pertuduhan antara Mei 2023 hingga Januari 2026 dan pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara hingga 10 tahun atau denda atau sebat atau mana-mana dua daripada hukuman itu, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Wan Amira Ruzaini Wan Abdul Razak mengendalikan pendakwaan manakala tertuduh diwakili peguam Muhd Nazreev Mohd Najeeb.

Wan Amira Ruzaini tidak menawarkan jaminan terhadap tertuduh kerana pertuduhan membabitkan pelajar bawah umur.

Muhd Nazreev bagaimanapun memohon mahkamah menggunakan budi bicara bagi membenarkan tertuduh diikat jamin selain memaklumkan dia telah dipindahkan ke Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) SPU dan tiada risiko mengganggu mangsa.

Mahkamah membenarkan jaminan RM45,000 bagi kesemua pertuduhan dengan seorang penjamin.

Tiada ulasan: