"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Kes Teoh: Bimbang wujud tekanan terhadap majistret kendali inkues

Anis Nazri

KUALA LUMPUR, 30 Julai (Hrkh) - Biarpun kerajaan menubuhkan inkues bagi menyiasat punca kematian Setiausaha Politik Exco Selangor, Teoh Beng Hock, 16 Julai lalu, PAS Wilayah Persekutuan bimbang wujudnya tekanan ke atas majistret yang mengendalikan inkues tersebut.

Pengerusi Lajnah Guaman PAS Wilayah Persekutuan, Ahmad Zamri Khuzaimi, berkata kebimbangan tersebut timbul disebabkan inkues itu dikendalikan seorang majistret yang juga merupakan penjawat awam.

"PAS Wilayah bimbang sekiranya majistret yang dilantik berkemungkinan akan diberikan tekanan, di saat badan kehakiman negara masih diragui akan kredibilitinya. Lebih-lebih lagi, majistret tersebut merupakan seorang penjawat awam," kata beliau kepada Harakah di Pejabat Agung PAS, 25 Julai lalu.

Sehubungan itu, kata beliau yang mengalu-alukan penubuhan Suruhanjaya Diraja berhubung kematian Beng Hock itu, bidang kuasa suruhanjaya itu harus diluaskan hingga mencari punca kematian mendiang.

"PAS Wilayah menyambut baik penubuhan suruhanjaya dan inkues tersebut, namun dalam masa sama meminta supaya kuasa suruhanjaya itu diluaskan sehingga mencari punca kematian Beng Hock. Bukan sekadar untuk menyelidiki kaedah siasatan yang digunapakai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM)," kata beliau.

Dalam pada itu, beliau turut menyatakan kesediaan PAS Wilayah untuk menjadi peguam pemerhati sepanjang inkues mengenai kematian Beng Hock dijalankan, bermula 29 Julai lalu.

Ketika ditanya berkenaan kesediaan PAS Wilayah untuk berbuat demikian memandangkan kes tersebut berlaku di Selangor, Zamri berkata pihaknya melihat kejadian itu dari sudut keseluruhannya.

"Isu ini bukan isu lokaliti, negeri atau apapun. Tetapi ia melibatkan keseluruhannya. Apa yang berlaku di Selangor, tidak mustahil berlaku di negeri lain dan di tempat lain. Jadi, soal Wilayah dan bukan Selangor itu, bukan soalnya," tegas beliau.

Dalam perkembangan sama, beliau turut menggesa suruhanjaya dan inkues yang dibentuk itu bukan sekadar mengungkapkan kebenaran terhadap kejadian tersebut, tetapi dalam masa sama membawa sesiapa yang terlibat kepada kematian itu ke muka keadilan.

Beng Hock, 30 ditemui mati di tingkat lima Plaza Masalam, Shah Alam, selepas disoalsiasat lebih lapan jam sebagai saksi kepada dakwaan salahguna peruntukan dana di kalangan Adun Pakatan Rakyat.

Ekoran kejadian tersebut, banyak pihak menuntut supaya satu suruhanjaya bebas ditubuhkan bagi menyiasat punca kematian Teoh, selain meneliti semula kaedah siasatan yang dijalankan SPRM.

Tiada ulasan: