"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Mansuhkan ISA: Ayuh, kita meriahkan pesta demokrasi 1 Ogos

Umar Mukhtar Luqman hakim

Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) memang terkenal dengan kezalimannya. Ia membawa daki karat memisahkan isteri dan suami, ayah dan anak-anak, merosakkan tali persaudaraan dan ikatan persahabatan.

Ada keluarga berantakan dan bercerai-berai. Ada anak yang tertekan jiwa sehingga terpaksa dimasukkan ke hospital ekoran tidak tertahan menanggung kesan psikologi yang amat sangat.

Tidak kurang karenah jahat polis cawangan khas (SB) yang menabur fitnah, mengadu-domba, selain cuba mematahkan semangat dan menghina idealisme perjuangan tahanan.

Banyak buku-buku yang ditulis oleh bekas tahanan mendedahkan konspirasi jelik SB, pastinya setelah mendapat restu Menteri Dalam Negeri, yang tidak pernah mengira halal-haram dan dosa-pahala dalam mengatur pemerintahan.

Serambi kuasa

Demi memuaskan nafsu golongan elit politik yang menguasai takhta dan singgahsana kuasa, SB tadi mempergunakan pelbagai cara untuk menundukkan kumpulan atau individu yang dilihat bolehmenggugat teraju pemerintahan (bukan menggugat keselamatan awam). Walhal dalam sistem demokrasi, pemerintah boleh dicabar dan digugat penguasaan mereka, asalkan ia dibuat melalui saluran undang-undang yang sah.

Namun, terdapat salah tanggap masyarakat yang harus diperbetulkan tentang kezaliman ISA ini. Antaranya, anggapan bahawa ISA hanya mencari mangsa di kalangan aktivis politik atau NGO yang pandangan mereka tidak selari dengan sikap pemerintah.

Dan dakyah yang selalu dikemundangkan adalah kerajaan terpaksa bertindak awal bagi mencegah sebarang kemudaratan yang boleh menjejaskan ketenteraman awam.

ISA sememangnya alat dan perkakas paling berkesan buat pemerintah yang begitu takutkan suara rakyat demi mempertahankan kuasa mereka. Kerajaan yang rasuah, korup, membazir, mengaut khazanah negara untuk mengisi tembolok diri dan kroni, serta menindas golongan yang sentiasa kritikal dengan penyelewengan pemerintah, selalunya hidup dalam ketakutan. Mereka bimbang kuasa sukar dipertahankan jika segala salah laku didedahkan kepada umum.

Jalan paling mudah adalah dengan mencari alasan dan daleh agar seteru politik mereka bukan saja dapat dijinakkan tetapi juga dipenjarakan. Sebelum itu pintu untuk rakyat bersuara dipersempitkan dan ruang demokrasi ditutup. Pentas-pentas debat melalui siri ceramah politik akan cuba dipersukarkan.

Cegah jenayah

Pihak polis yang sepatutnya menumpukan usaha mencegah jenayah dikerah untuk mengawal perhimpunan pembangkang, suatu tindakan yang hanya membazirkan tenaga, masa dan dana awam.

Polis cawangan khas dan perisikan yang lebih diperlukan untuk membanteras jenayah yang semakin berleluasa telah difokuskan untuk melumpuhkan potensi parti-parti alternatif yang dilihat berupaya mencabar kedudukan dan kuasa pemerintah.

Keselamatan negara memang aspek penting yang mesti dipertahankan. Kita tidak sewajarnya bersikap sambil lewa atau berkompromi dengan anasir-anasir yang boleh menggugat keharmonian awam dan menyebabkan masyarakat majmuk di negara kita bercakaran dan berpecah-belah.

Namun,ia sesekali tidak boleh dijadikan alasan untuk pemerintah dengan sewenang-wenangnya menggunakan ISA untuk menahan mereka yang disyaki akan terbabit dengan kegiatan subversif.

Prinsip keadilan sejagat dan hak asasi manusia, terutama hak untuk berhimpun, bersuara dan berpersatuan harus dihormati semua pihak. Kerajaan yang bertanggungjawab dan matang sama sekali tidak pernah bimbang kuasa mereka akan dijatuhkan hanya dengan peningkatan kesedaran berpolitik rakyat.

Rakyat yang terpelajar dan sedar tentang hak-hak awam sebenarnya dapat membantu membangunkan lagi sesebuah negara. Mereka dapat memberi sumbangan terbaik buat negara,tanpa rasa takut dan bimbang. Tidaklah seperti berlaku dalam negara kita apabila ramai cendekiawan, sebahagiannya bertaraf profesor, yang dikunci mulut dan dizip bibir daripadamenyuarakan kepentingan ramai, mengikut bidang pengkhususan masing-masing.

Bila media dipancung kebebasannya

Media yang sewajarnya berperanan aktif menyampaikan maklumat dan informasi sahih juga dipancung kebebasannya, menyebabkan rakyat seperti diperbodohkan. Bayangkan, dalam zamanlangit terbuka tanpa sempadan, negara masih melaksanakan pelbagai peraturan rimba yang memalukan, seperti Akta Mesin Cetak dan Penerbitan, yang tetap memerlukan permit penerbitan yang mesti diperbaharui setiap tahun.

Pihak menteri pula berkuasa sepenuhnya untuk mengharamkan dan menggantung mana-mana permit penerbitan tanpa perlu memberikan sebab munasabah dan keputusan KDN atau menteri itu langsung tidak boleh dicabar mahkamah. Akta Percetakan ini, seperti juga ISA dan banyak lagi akta menindas dan represif perlu dimansuhkan dengan kadar segera.

Suatu usaha reformasi besar-besaran untuk melihat kembali undang-undang yang ketinggalan zaman itu harus diselaraskan dengan perkembangan zaman. Setiap rakyat yang prihatin usah rasa segan silu untuk sama-sama bangkit menyatakan hak dan suara, menuntut dengan satu keazaman dan kesatuan,agar sang penguasa di atas sana prihatin dengan degup jantung rakyat dan serentak dengan itu dapat melonggarkan segala rantai yang mengongkong.

Ayuh, jangan tunggu dan tangguh-tangguh lagi untuk memeriahkan Himpunan Mansuh 1 Ogos. Datang beramai-ramai ke ibu kota, sekitar jam 2 petang, bagi memastikan pesta demokrasi ini tidak mudah dipatahkan.

Anda tidak melakukan apa-apa kesalahan hanya kerana untuk berhimpun menunjukkan sokongan kepada tuntutan untuk memansuhkan ISA.

Jadikan perhimpunan ini lebih besar dan bermakna, sekurang-kurangnya menyamai perhimpunan Bersih dan membantah PPSMI tidak lama dulu.

Tiada ulasan: