"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

UBN Najib Altantuya: Kerajaan negeri ajak berbaik jangan Umno bermotif politik

Adnan Ibrahim

Menteri Besar, Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat menawarkan sikap berbaik dengan kerajaan pusat demi kesejahteraan rakyat Kelantan yang sepatutnya menikmati kemudahan sesuai dengan semangat konsep federalisme dalam penubuhan Malaysia dengan negeri lain dalam gabungan tersebut.

Sebagai parti yang menguasai pemerintahan negara tidak selayaknya Umno dilihat terlalu mendesak sehingga sanggup melacurkan parti untuk mengagih simpati PAS. Semua rakyat tahu apa maksud Nik Abdul Aziz dan putar belit Umno hanya menambah meluat dan kebencian rakyat terhadap Umno.

Motif politik Umno demi kepentingan parti mereka maka setiap perkara yang dibangkitkan kerajaan pakatan rakyat diselewengkan. Umno dilihat terlalu bermain politik sehingga melupakan tanggungjawab sebagai kerajaan pusat terhadap negeri dalam kekuasaannya.

Dengan itu hasrat yang diinginkan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad supaya orang Umno kembali menyokong parti itu, tidak akan tercapai.

Secara tidak langsung sambutan terhadap 100 hari pemerintahan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak digambarkan penuh dengan penindasan gara-gara Timbalannya, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Mustapa Mohamed memanipulasikan kenyataan Nik Abdul Aziz.

Najib perlu melihat apakah Muhyiddin sesuai bagi pemerintahan beliau yang mahu membuat perubahan dengan slogan `satu Malaysia, rakyat didahulukan, pencapaian diutamakan, kerana timbalannya sering menimbulkan masalah kepada Najib untuk mengembalikan keyakinan rakyat kepada Umno.

Nik Abdul Aziz sebelum ini menawarkan sikap berbaik dengan kerajaan pusat sesuai dengan konsep federalisme. Penghormatan kepada konsep tersebut amat penting kerana kerajaan negeri dengan kerajaan pusat adalah saling kait mengait dan memerlukan. Sebaliknya Muhyiddin dan Mustapa memanipulasikan kenyataan tersebut.

Kerajaan pusat perlu menghormati keputusan rakyat di negeri pakatan rakyat yang telah memilih parti selain Barisan Nasional (BN) memerintah mereka. Sebaliknya kerajaan pusat seolah mahu membalas dendam kepada rakyat negeri pakatan rakyat dengan peraturan yang bercanggah konsep federalisme.

Kerajaan pusat tidak menyegerakan wang peruntukan tahunan kepada kerajaan negeri malah terdapat negeri pakatan rakyat dinafikan perbelanjaan tersebut. Sebaliknya Kerajaan pusat tanpa segan silu tetap mengambil cukai di negeri pakatan rakyat.

Di Selangor umpamanya kerajaan pusat memperolehi hasil sehingga RM80 bilion setahun tetapi sehingga kini satu sen pun kerajaan pusat tidak curahkan kepada kerajaan negeri itu kerana sikap Umno bermotif politik disebabkan Selangor diperintah Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Kelantan pula hanya semasa pemerintahan bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi, kerajaan negeri dapat mengecapi peruntukan perkapita sehingga RM6 bilion setahun sedangkan dalam masa 20 tahun pemerintahan PAS itu, Kelantan hanya diberi tidak lebih RM2 bilion dalam masa negeri lain dibawah penguasaan Umno mendapat peruntukan lebih RM6 bilion malah sampai RM11 bilion.

Apabila Nik Abdul menyuarakan hasrat berunding dengan kerajaan pusat ia sepatutnya menyedarkan Najib bahawa kerajaan pusat selama ini sudah jauh menyeleweng daripada konsep federalisme yang dipersetujui bersama.

Malah dalam setengah keadaan menteri dalam kabinet beliau pun bertindak jauh menyeleweng daripada konsep tersebut dengan menafikan hak kakitangan kerajaan daripada menyertai program kerajaan negeri dibawah pakatan rakyat.

Tugas kakitangan kerajaan pusat adalah saling memerlukan dengan kerajaan negeri bagi kepentingan rakyat sebaliknya Menteri Pertahanan, Dato' Zahid Hamidi dan Menteri Pertanian dan Industri Asas Industri, Dato' Noh Omar membuat arahan bahawa pegawai kerajaan pusat tidak boleh hadir dalam mesyuarat dan kursus yang dianjur oleh kerajaan negeri yang diperintah oleh pakatan rakyat.

Alasan yang diberikan ialah kerana negeri pakatan rakyat tidak memberi dana untuk melaksanakan projek pertanian.

Dalam penubuhan agensi kerajaan terdapat senarai kerajaan pusat dan kerajaan negeri serta pengurusan bersama. Contoh polis, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), tentera, bomba, Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan lain-lain seumpamanya termasuk dalam tanggungjawab kerajaan pusat.

Bagi jabatan seperti Jabatan Kerja Raya (JKR), Jabatan Kemajuan Masyarakat (JKM) dan Jabatan Pertanian pula senarai bersama. Dalam hal ini, jika pegawai itu daripada pusat, gajinya dibayar dari kewangan negeri di mana dia bertugas. Tugasnya ialah membangunkan negeri tempat dia berkhidmat dalam ruang lingkup tanggungjawab jabatannya.

Pejabat tanah, pejabat daerah, jabatan bekalan air, jabatan agama dibawah tanggungjawab kerajaan negeri. Ini merupakan agensi dibawah kuasa kerajaan negeri dan menjadi sumber hasil yang boleh dibelanjakan terus oleh negeri.

Semua kutipan cukai serta bayaran seperti denda, saman dan sewa melalui agensi kerajaan pusat ini wajib dikembalikan kepada rakyat melalui geran wajib tahunan, peruntukan kementerian kepada jabatan dan projek pembangunan.

Bagi Zahid dan Noh, bagaimana sekiranya kerajaan negeri melarang kutipan cukai LHDN di negerinya dihantar kepada kementerian kewangan. Apa perasaan mereka? Tetapi bukan itu hasrat kerajaan negeri untuk melanggar peraturan dan ketetapan bersama.

Oleh kerana itu kerajaan pusat perlu kembali kepada konsep federalisme supaya keadilan dan hasil mahsyul dapat dikongsi serta dinikmati bersama.

Walaupun sehingga kini kerajaan negeri pakatan rakyat dinafikan hak sedemikian tetapi mereka tetap bersabar supaya kerajaan pusat tidak perlu gopoh untuk menggunakan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) kerana ia akan memberi gambaran yang semakin buruk kepada Najib dan menyingkirkan Umno memerintah negara pada pilihan raya umum akan datang.

Tiada ulasan: