"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Mansuhkan ISA: Tun Razak beri jaminan ISA hanya untuk pengganas komunis

Ahmad Tajdid

GERAKAN MANSUHKAN ISA (GMI) akan mengadakan perhimpunan di ibu negara pada 1 Ogos ini sempena penyerahan memorandum kepada Istana Negara menggesa supaya Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dimansuhkan. Tanggal 1 Ogos akan datang juga adalah tahun ke-49 ISA diluluskan Parlimen. Apakah tujuan sebenar ISA diwujudkan? Ikuti sedutan ucapan Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pertahanan, Tun Abdul Razak Husain ketika Rang Undang-undang ini dibawa ke Dewan Rakyat pada 21 Jun 1960.

Tuan Yang Dipertua, saya suka hendak terangkan sedikit berkenaan dasar Rang Undang-undang (Keselamatan Dalam Negeri) ini.

Seperti Ahli-ahli Yang Berhormat ketahui bahawa Kerajaan bercadang hendak menamatkan darurat yang ada pada ketika sesudah 12 setengah tahun lama-nya iaitu akan tamat pada 31 haribulan Julai. Oleh itu mustahaklah diadakan Rang Undang-undang termasuklah Rang Undang-undang Keselamatan Dalam Negeri atau Internal Security Bill.

Seperti yang telah diterangkan, kerap kali bahawa sungguhpun Darurat akan tamat pada 31 haribulan Julai ini, tetapi musuh iaitu pengganas komunis masih lagi ada di negeri kita di antara sempadan Tanah Melayu.

Sudah saya terangkan tadi lebih kurang 580 orang lagi pengganas komunis di sempadan Tanah Melayu dan barangkali 90 orang lagi ada dalam negeri Tanah Melayu. Jadi, mustahak-lah kita mengadakan satu undang-undang supaya dapat Kerajaan meneruskan serangan terhadap pengganas-pengganas komunis ini supaya dapat dihapuskan dengan seberapa segera.

Begitu juga oleh sebab musuh masih ada dalam negeri kita yang mana musuh itu disebabkan dan memikirkan yang mereka itu telah kalah dalam peperangan yang akan menjalankan seberapa usaha tenaganya dengan cara meresap subversif hendak menjatuhkan Kerajaan negeri ini dan hendak merosakkan keamanan. Oleh sebab itu, mustahak-lah kita mengadakan undang-undang bagi mencegah atau melawan anasir-anasir subversif itu.

Undang-undang atau Rang Undang-undang yang ada ini bertujuan satu bagi hendak menjalankan peperangan di sempadan antara Tanah Melayu dengan Siam supaya pengganas komunis akan dihapuskan dengan segera. Kedua, hendak mencegah anasir-anasir pengganas komunis yang ada dalam negeri ini yang menjalankan pekerjaan dengan cara meresap atau subversif.

Berkenaan dengan bahagian yang kedua Rang Undang-undang ini iaitu bagi melawan pengganas komunis di sempadan Siam, dan oleh sebab peperangan akan diteruskan maka terpaksalah diadakan kuasa-kuasa yang banyak sedikit pada pihak Kerajaan dan pihak tentera dan juga pihak Polis bagi menjalankan tugas mereka itu.

Oleh sebab itulah didapati bahagian yang kedua dalam Rang Undang-undang ini ada kuasa yang besar itu diberi setengah dari pihak Kerajaan dan pihak pegawai-pegawai tentera, akan tetapi kuasa itu hanya-lah boleh digunakan dalam kawasan-kawasan yang tertentu yang telah diisytiharkan menjadi security areas (kawasan keselamatan), dan Kerajaan hendak menjadikan di-kawasan sempadan Siam ia-itu kawasan-kawasan di sebelah utara negeri Perlis, sebelah timur negeri Kedah, di utara negeri Perak, dan sebelah barat negeri Kelantan. Kawasan yang lain tidak akan dijadikan 'security area'.

Jadi, kawasan yang kedua dalam Rang Undang-undang ini akan digunakan dalam tempat yang tersebut sahaja. Berkenaan bahagian yang pertama dalam Rang Undang-undang ini sebagaimana yang saya katakan tadi bahawa kuasa yang dikehendaki itu supaya hendak mencegah anasir-anasir subversif yang ada dalam Tanah Melayu ini. Dan fasal yang mustahak sekali dalam bahagian ini ialah bahagian Fasal 8 berkenaan dengan kuasa hendak mempertahankan orang yang difikirkan merbahaya kapada Keselamatan dalam Negeri.

Saya suka terangkan di sini Kerajaan tidak suka hendak memberi perintah supaya seseorang itu ditahan. Akan tetapi oleh sebab difikirkan kadang-kadang mustahak kerana keselamatan negeri, maka terpaksa di-gunakan kuasa ini. Dan apabila seseorang itu telah ditahan, Kerajaan berusaha supaya mereka itu dapat dilepaskan dengan seberapa segera.

Semenjak tahun 1957 hampir 200 orang tahanan telah dikeluarkan, bagitu juga orang yang ditahan sekarang apabila Kerajaan berpendapat mereka itu tidak lagi merbahayakan kepada keselamatan negeri dan mereka itu benar-benar taat setia kapada negeri ini, mereka itu akan dilepas dan dibebaskan dengan saberapa segera. Jadi itulah caranya Kerajaan menjalankan kuasa yang ada di dalam tangan Kerajaan pada masa yang telah lalu.

Dan saya boleh memberi akuan kapada Dewan ini bahawa kuasa-kuasa yang akan diberi kapada Kerajaan akan digunakan dengan cermatnya dan dengan semata-mata memikirkan kepada kepentingan dan keselamatan negeri.

Oleh itu, saya harap Ahli-ahli Yang Berhormat akan memberi sokongan kapada Rang Undang-undang ini.

Tiada ulasan: