"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Pengasas Pondok Geting tiada tauliah mengajar di masjid?

Harakahdaily
KOTA BHARU, 24 Nov:
Pusat Pembangunan Pondok Bhd (PPPB) tidak bertanggungjawab di atas kenyataan pengasas Pondok Geting, Haji Abdullah Sa`amah yang melabelkan Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat sebagai terlalu takbur.

Malah kata mereka, guru pondok tersebut sudah diketahui umum sebagai seorang yang berpendirian kontroversi dalam banyak isu agama kerana tidak mempunyai pendedahan mengenai perkembangan semasa.

Pemegang Amanah PPPB, Ustaz Mohamad Awang berkata, kenyataan guru pondok terbabit hanya bersifat peribadi yang tidak selayaknya dikeluarkan oleh seorang yang bergelar ulama.

"Semua orang sudah tahu tauliahnya mengajar di masjid sudah lama ditarik Majlis Agama Islam Kelantan. Sekarang beliau hanya mengajar di pondoknya sahaja.

"Sebelum ini beliau pernah dikatakan menghalalkan cabutan premium yang dianjurkan sebuah bank, sedangkan jumhur ulama menolak kerana meragui kaedah yang dijalankan," katanya di sini.

Semalam sebuah akhbar melaporkan Haji Abdullah yang juga pengasas pondok Geting, Tumpat sebagai berkata, tindak tanduk Nik Abdul Aziz sudah keterlaluan dan diselumbungi takbur.

Malah katanya, Mursyidul Am PAS itu menafsirkan al Quran berdasar kepada kefahaman sendiri yang disesuaikan dengan kepentingan tertentu.

Mohamad yang juga bekas Pengetua Sekolah Menengah Kebangsaan Agama di Machang mempersoalkan apa kriteria yang digunakan Haji Abdullah sehingga melabelkan begitu rupa kepada Menteri Besar Kelantan.

Menurutnya kalau hendak dikira dari segi ilmu sesetengah orientasi barat lebih banyak lagi ilmu mengenai Islam, namun tidak ada sifat zuhud bagi memimpin ummah seperti dimiliki Tuan Guru Nik Aziz.

Seorang lagi guru pondok yang enggan dikenali berkata, memorandum yang dikatakan dihantar Haji Abdullah kepada Menteri Besar tidak ada kaitan dengan PPPB.

Katanya, beliau difahamkan dokumen yang pernah dihantar kepada Tuan Guru Nik Aziz tahun lepas bukan memorandum sebaliknya sebagai satu surat mohon penjelasan terhadap sesuatu isu agama.

"Persatuan berkenaan dikatakan telah mengadakan pertemuan dengan Menteri Besar dan bukan ditolak mentah-mentah seperti didakwa Haji Abdullah. Isu tersebut kemudian senyap kerana mereka faham kedudukan sebenar," ujarnya ketika dihubungi di sini.

Beliau juga mengakui pengasas pondok Geting tersebut seorang guru agama yang kontroversi kerana suka menyanggah pendapat orang lain.

Tiada ulasan: