"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Jangan halang ayah saya

KOTA BHARU, 25 Nov: Anak kepada Menteri Besar, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz mengingatkan agar tiada mana-mana pihak cuba menghalang bapanya daripada melepaskan jawatan.

Beliau yang juga Ahli Jawatankuasa Dewan Pemuda Pas Pusat berkata, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat telah melakukan yang terbaik dalam perjuangan tetapi beliau sudah tua dan keletihan.

"Dia telah memberi yang terbaik. Jika suatu hari dia menyebut hasrat meletakkan jawatan, jangan ada yang bodoh datang mengatakan tidak dan jangan. Jika tidak, saya akan memanggilnya, 'Wahai si bodoh!'," katanya.

Beliau menegaskan demikian dalam blognya bagi menceritakan musibah yang meletakkan keluarganya dalam saat-saat sukar ekoran kemelut politik kepimpinan Pas yang sebahagiannya dikatakan sengaja dirancang, malah cuba memerangkap Nik Abdul Aziz.

"Anda tahu ayahanda sedang dihimpit ujian Tuhan yang datang secara bertubi-tubi. Daripada isu mesyuarat agung luar biasa (EGM) dan politik persepsi, ia bergerak menuju isu tajaan haji dan rasuah.

"Kemudian ia menerkam kepada isu Perbadanan Menteri Besar Kelantan (PMBK) dan kroni. Belum pun 'bengah' (selesai), dia diasak isu letak jawatan dan konspirasi membunuh karakter dan karier.

"Kecuali isu EGM, ia telah meruntun keharmonian dalam keluarga. Ia mengocak rumah yang sentiasa tenang dan bahagia dengan kehadiran ayah dan ibu yang sentiasa menguntum dengan senyuman kasih dan sayang,'' katanya.

Namun katanya, pengumuman Nik Abdul Aziz yang mengarahkan iparnya, Abdul Ariffahmi Ab. Rahman meletakkan jawatan sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) PMBK telah meredakan kepanasan suhu politik dan suasana sedih dan muram yang melanda keluarga.

"Biar sekalipun ia telah meninggalkan kesan luka dan calar yang mendalam buat ayahanda. Biarlah begitu kendatipun masih ada orang yang mahukan ayahanda menjirusnya dengan air mawar yang harumi buat menutup tengik aib yang terpalit," katanya.

Katanya, sebelum itu berita peletakan jawatan seorang pemimpin Pas yang dianggap kesayangan bapanya telah kedengaran lebih awal.

Mengenai isu PMBK yang melibatkan Abdul Ariffahmi, beliau sememangnya tidak menyokong pelantikan pemuda itu ke jawatan tinggi di PMBK atau jawatan Ketua Pegawai Operasi.

"Saya tahu sangat apa yang akan berlaku jika beliau diangkat ayahanda ke jawatan tertinggi di dalam PMBK. Fitnah mesti melanda dan beliau pasti terluka dan mungkin kecundang. Itu keyakinan saya.

"Kerana kita dilihat menumpang tuah bapa dan mertua. Buat yang hebat dikata tuah ayah dan mertua. Buat yang buruk dikata tidak tahu jaga bapa dan mertua. Terimalah hakikat bahawa kita ini insan bertuah yang sukar bernafas apatah bergerak," katanya.

- UM

Tiada ulasan: