"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Pemandu bas ekspres korban 10 nyawa akui ‘terlelap’


IPOH, Dis 26: Pemandu bas dua tingkat Sani Express yang terbabas dan melanggar pembahagi jalan di KM272.8 Lebuh Raya Utara-Selatan arah utara awal hari ini yang mengakibatkan 10 penumpang maut manakala dua lagi cedera, mengaku ‘terlelap’ sebelum kejadian.

Ketua Trafik Ipoh DSP Mohd Rodzi Rejab berkata siasatan awal polis mendapati pemandu berkenaan merancang untuk bertukar giliran memandu dengan pembantunya sebaik tiba di kawasan Rehat & Rawat Sungai Perak dekat sini.

“Ujian alkohol dan dadah yang dijalankan ke atas pemandu berusia 38 tahun itu didapati negatif,” katanya kepada pemberita di sini.

Beliau berkata pemandu berkenaan direman sehingga Rabu ini bagi membantu siasatan yang dibuat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Mohd Rodzi berkata bas ekspres tersebut tidak mempunyai rekod kesalahan trafik namun beliau enggan menyatakan rekod pemandu yang ditahan itu.

Sementara itu, Menteri Besar Perak Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir meminta kerajaan pusat mempertimbangkan agar tidak membenarkan lagi bas ekspres beroperasi pada waktu malam.

Beliau berkata sekiranya langkah itu mampu melindungi nyawa pengguna perkhidmatan berkenaan maka ia amat wajar sekali dipertimbangkan.

“Nyawa orang ramai adalah yang paling utama,” katanya kepada pemberita selepas menemui dan menyampaikan sumbangan peribadi kepada anggota keluarga mangsa nahas berkenaan di luar Rumah Mayat Hospital Raja Permaisuri Bainun di

sini hari ini.

Dalam pada itu, Menteri Pengangkutan Datuk Seri Ong Tee Keat hari merakamkan rasa dukacita berhubung kehilangan nyawa dan kecederaan

dalam kemalangan tragik itu.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh pejabat Menteri Pengangkutan di sini, Ong yang kini berada di luar negara, telah pun dimaklumkan mengenai kemalangan itu dan beliau mengucap takziah kepada keluarga yang kehilangan orang

tersayang dalam tragedi itu.

Ong yang juga Presiden MCA, mengarahkan MCA Perak supaya menghulurkan apa jua bantuan segera yang diperlukan oleh mangsa.

Beliau turut mengarahkan para pegawai dari Jabatan Pengangkutan Jalan, Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR) dan Institut Kemalangan Jalan Raya Malaysia (Miros) supaya segera menyiasat punca kemalangan itu dan memaklumkan

kepada beliau mengenai keputusan siasatan.

Kenyataan itu turut menyebut bahawa JKJR telah pun mencadangkan kepada Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP) di bawah Jabatan Perdana Menteri supaya menggantung keseluruhan perkhidmatan bas syarikat yang terbabit dalam kemalangan itu sementara menunggu siasatan selesai.

Jabatan itu turut mencadangkan penubuhan sebuah badan siasatan yang diketuai oleh Pengerusi LPKP Datuk Halimah Mohamed Sadique, sejajar dengan prosedur standard apabila berlakunya kemalangan besar.

Kementerian akan bekerjasama rapat dengan agensi berkaitan yang lain untuk menyiasat kemalangan itu, kata kenyataan berkenaan.

-Bernama-

Tiada ulasan: