"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Perkenalkanlah Islam secara fitrah -Dr.Wahbah

Dzulfikar Mashoor
SHAH ALAM, 25 Dis:
Cendekiawan Islam tempatan digesa memperkenalkan prinsip-prinsip Islam kepada masyarakat bukan Islam sebagaimana yang dilakukan Rasulullah s.a.w dalam pembentukan Piagam Madinah.

Prinsip-prinsip Islam seperti keadilan hak, kebebasan berfikir dan beragama, kesamarataan sosial serta keselamatan jiwa merupakan prinsip-prinsip sejagat yang pasti diterima rakyat secara fitrah, walaupun tidak menganut Islam

Demikian gesaan Dr. Wahbah az-Zuhaily ketika menyampaikan ketika menyampaikan syarahan 'Fiqh Masyarakat Bukan Islam dalam Negara' di sini baru baru ini.

Beliau yang juga Dekan Fakulti Fiqh dan Mazhab Islam dari Universiti Damsyik, Syria berkata, masyarakat bukan Islam pada zaman Rasulullah s.a.w menikmati keadilan sosial apabila setiap jiwa dijamin keselamatan oleh kerajaan Rasulullah s.a.w.

Menurut beliau lagi, rakyat Madinah tidak dipaksa memeluk agama Islam walaupun Rasulullah s.a.w menjadi Ketua Kerajaan.

Sebaliknya Rasulullah s.a.w menjalankan usaha dakwah serta menggalakkan rakyatnya berfikir, sebelum memilih untuk menganut agama Islam atau sebaliknya.

Jelasnya, kerajaan Islam juga diwajibkan mempertahankan hak-hak asasi masyarakat bukan Islam.

"Setiap ahli masyarakat bukan Islam di dalam kerajaan Madinah dipertahankan hak mengamalkan agamanya masing-masing, biara-biara ibadat mereka tidak boleh dirobohkan serta hak asasi mereka perlu dihormati oleh para pemimpin Islam dan umatnya (Islam)," jelas Dr. Wahbah dalam pengucapan bahasa Arab.

Ujarnya lagi, setiap rakyat tidak kira masyarakat Islam atau bukan Islam turut diwajibkan mempertahan kedaulatan sesebuah kerajaan yang adil, sebagaimana yang ditunjukkan dalam Piagam Madinah.

Sebelum pada itu, Exco Selangor yang juga Pesuruhjaya PAS Negeri Datuk Dr. Hassan Mohd Ali turut menyampaikan ucapan perasmian dan penghargaan kepada Dr. Wahbah dan peserta yang hadir.

Simposium tersebut merupakan anjuran bersama Persatuan Ulama Malaysia Cawangan Selangor (PUMSEL), Jabatan Agama Islam Negeri Selangor (JAIS) dan Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) demi mendepani cabaran semasa rakyat Malaysia yang plural.

Tiada ulasan: