"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

PAS kaji tiada lagi calon luar tanding di K'tan

PAS Kelantan akan mengkaji sama ada akan terus menerima calon yang bukan anak negeri untuk bertanding dalam pilihan raya umum ke-13 nanti di negeri itu.

Menteri Besar Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang juga mursyidul am PAS dan pesuruhjaya PAS Kelantan, berkata dalam Islam, tidak ada perbezaan antara orang dalam atau luar.

"Tetapi jika nampak orang luar tidak perlu lagi tolong Kelantan, kita boleh mencalonkan pemimpin anak negeri ini untuk bertanding dalam pilihan raya umum nanti," katanya kepada pemberita di Kota Bharu hari ini.

Beliau diminta mengulas saranan Ketua Dewan Ulama Pas Kelantan, Datuk Mohamad Daud Iraqi, yang mahu anak Kelantan dicalonkan dalam pilihan raya umum akan datang.

Antara pemimpin luar yang kini menjadi ahli parlimen di Kelantan ialah Timbalan Presiden PAS, Nasharuddin Mat Isa (Bachok), Naib Presiden Salahuddin Ayub (Kubang Kerian) dan Bendahari Dr Hatta Ramli (Kuala Krai).

Mengenai keputusan Ketua Penerangan Dewan Pemuda PAS Kelantan, Dr Rosli Allani Abdul Kadir, melepaskan jawatan, Nik Abdul Aziz berkata: "Ikut dialah, itu masalah peribadi."

Semalam, Dr Rosli mengumumkan peletakan jawatan dalam parti kerana tidak mahu namanya dikaitkan dengan Pas ekoran masalah peribadi selepas beliau diperintah oleh Mahkamah Syariah di sini tinggal berasingan sementara dengan isteri keduanya setelah tersebar berita mengenai kesahihan pernikahan mereka.

Dr Rosli adalah juga orang yang meminta menantu Nik Aziz, Abdul Ariffahmi Abdul Rahman supaya segera meletak jawatan sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Menteri Besar Kelantan.

Ketika ditanya mengenai perkara itu, Nik Aziz berkata: "Berapa kali nak ulang benda tu. (Orang) nak kata apapun, katalah. Cukuplah, (kita) dah tutup fail. Mari datuk mana sekalipun, saya kena dengar keputusan daripada (PAS) pusat." katanya.
-Bernama-

Tiada ulasan: