"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Rakyat Kelantan solat hajat di hadapan Kaabah

Zuharman MN
KOTA BHARU,4 Dis:
Usaha pihak lawan mahu menggugatkan kestabilan kerajaan Kelantan turut mendapat perhatian rakyat negeri ini yang sedang mengerjakan ibadat haji di Makkah.

Mereka turut bersimpati terhadap apa yang berlaku melalui berita yang disampaikan dari semasa ke semasa.

Sehubungan itu, Kelab Penyokong Kerajaan Kelantan (BBC) mengadakan solat hajat di hadapan Kaabah di Mekah malam tadi memohon kepada Allah dikekalkan kerajaan PAS Kelantan dan dilembut hati perdana menteri supaya memberi royalti minyak.

Timbalan Pengerusi BBC, Drs Zainuddin Awang Hamat berkata, solat hajat tersebut akan disertai jemaah di kalangan rakyat Kelantan dan beberapa pemimpin PAS yang berada di tanah suci.

Difahamkan turut berada di Makkah Speaker Dun Kelantan, Ustaz Nasuruddin Daud, Adun Air Lanas, Ustaz Abdullah Ya’kob, Adun Melor, Ustaz Wan Ismail Wan Jusoh, Adun Mengkebang, Ustaz Abdul Latif Abdul Rahman dan Adun Chetok, Ustaz Abdul Abdul Halim Abdul Rahman dan Zainuddin yang juga Adun Limbongan.

Zainuddin ketika dihubungi di sini berkata, senjata utama di kalangan orang-orang mukmin ialah doa dan solat hajat bukannya wang ringgit.

Beliau juga menyifatkan tindakan segelintir pemimpin Umno berhimpun di depan bangunan Kota Darulnaim bagi mendesak Tuan Guru Nik Abdul Aziz meletak jawatan kerana isu doa sebagai benar-benar ketandusan isu.

“Di mana pemimpin-pemimpin atasan Umno sehingga memperalatkan orang kampung dan penarik beca datang menyertai demonstrasi,” katanya.

Selasa lalu kira-kira 100 orang penyokong Umno yang diketuai Timbalan Ketua Umno Pasir Mas, Che Johan Che Pa berhimpun tanpa permit di depan SUK membantah Menteri Besar berkaitan isu doa.

Sebelum itu Tuan Guru Nik Abdul Aziz dalam khutbah Hari Raya memohon kepada Allah Taala membuka pintu hati perdana menteri bagi memberi royalti minyak kepada Kelantan.

Bagaimanapun katanya, kalau pemimpin negara masih enggan didoakan sesuatu musibah berlaku sebagai satu peringatan kepada mereka.

Tiada ulasan: