"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Peguam: Kelantan, Terengganu tiada hak tuntut royalti minyak

Adib Zalkapli

KUALA LUMPUR, 20 Mac: Peguam Datuk Cecil Abraham yang mewakili Petronas dalam tuntutan Terengganu mendapatkan royalti satu dekad lalu berkata, kesemua negeri di Semenanjung tiada hak untuk menuntut royalti ke atas minyak ditemui di luar kawasan tiga batu nautika dari pesisir pantai.

Abraham (kanan) berkata negeri-negeri Malaysia Barat tidak berhak meminta bayaran royalti minyak. — Gambar oleh Jack Ooi

“Kesemua rangka kerja perundangan dan perlembagaan menunjukkan semua negeri di Malaysia Barat, Kelantan, Terengganu dan Pahang tidak menunjukkan atau ada hak terhadap laut dan kawasan tanah yang tenggelam di luar perairan dan pentas benua berdampingan dengan negeri-negeri berkenaan,” kata Abraham.

Abraham berkata demikian pada forum “Royalti Minyak: Satu Hak Perlembagaan” anjuran Majlis Peguam untuk membincangkan aspek perlembagaan berhubung pembayaran royalti minyak kepada negeri-negeri pengeluar petroleum.

Abraham yang mewakili Petronas dalam kes tuntutan wang royalti oleh Terengganu juga berkata, kes Kelantan juga menyerupa nasib Terengganu dialami satu dekad lalu.

Justeru kata beliau, pertikaian sekarang ialah sama ada Kelantan harus dibayar wang royalti bagi hasil petroleum yang dikeluarkan di kawasan yang jauhnya 140kilometer dari pantai negeri itu.

Kelantan kini menuntut kerajaan persekutuan membayar wang royalti lima peratus ke atas minyak yang dikeluarkan di kawasan luar pesisir pantai negeri itu.

Bagaimanapun Putrajaya menegaskan, Kelantan tiada hak untuk mendapatkan royalti lima peratus, sebaliknya hanya bersedia untuk memberi wang ihsan, yang dibuat mulai bulan ini.

Terengganu membawa pertikaian tuntutan wang royalti ke mahkamah pada tahun 2000 selepas kerajaan pusat memutuskan untuk menghentikan pembayaran wang royalti selepas ia jatuh ke tangan PAS.

Bagaimanapun Abraham tidak menjelaskan asas pembayaran wang royalti yang dibuat kepada Terengganu sebelum PAS menguasai kerajaan negeri itu pada 1999.

Kata beliau, perjanjian dengan Petronas untuk bayaran wang tunai sebagai gantian kepada hak ke atas petroleum telah ditandatangani oleh kerajaan pusat.

“Sebagaimana kerajaan pusat tidak boleh mengharapkan dibayar wang tunai bagi hak petroleum yang diberikan kepada Petronas oleh negeri, begitu juga kerajaan negeri tidak boleh mengharapkan dibuat bayaran tunai bagi hak petroleum yang menjadi hak dan diserahkan oleh kerajaan persekutuan,” katanya.

“Jadi isunya ialah apakah hak harta yang menjadi milik kerajaan persekutuan dan apakah hak harta yang menjadi milik negeri,” katanya lagi.

Oleh itu jelas beliau, jika petroleum adalah milik persekutuan maka kerajaan-kerajan negeri tiada hak kepada petroleum yang diperoleh dan tidak boleh mengharapkan dibayar wang tunai atas alasan dipindahkan hak itu kepada Petronas.

Beliau mengetengahkan Akta Perlombongan Petroleum dan Akta Pelantar Benua 1966 yang menyediakan peruntukan bahawa sumber petroleum yang ditemui di kawasan tiga batu nautika adalah milik kerajaan persekutuan.

“Oleh itu adalah jelas bahawa Akta Perlombongan Petroleum mengiktiraf bahawa hak negeri hanya dipanjangkan sehingga perairan negeri masing-masing,” kata Abraham.

Malah kata beliau, tuntutan Kelantan juga tidak disokong oleh Konvensyen Pelantar Benua Geneva 1958 yang mewujudkan kedaultan negeri berhubung pelantar benua yang mengelilingi sesebuah negeri.

“Kelantan tidak dan tidak dapat menerima pakai Konvensyen Pelantar Benua Geneva 1958 sebelum menyertai Persekutuan Tanah Melayu pada 1957 kerana ia bukan sebuah negeri berdaulat ketika itu, ia mungkin sebuah negeri berdaulat sebelum itu tetapi berada dalam pertikaian sebab sehingga 1909 ia sebahagian daripada wilayah taklukan Thailand,” kata Abraham.

“Negeri Kelantan, Terengganu dan Pahang bukan negeri berdaulat dari sudut undang-undang antarabangsa awam sama ada sekarang ataupun sebelum menyertai Persekutuan Tanah Melayu di bawah perjanjian 1948 atau perjanjian 1957,” katanya.

Dalam kes Sabah dan Sarawak, Abraham berkata kedua-dua negeri itu dilindungi perundangan dan perjanjian sebelum pembentukan Malaysia pada 1963.

“Sabah dan Sarawak tidak menyertai Persekutuan Tanah Melayu pada 1957. Mereka menyertai Persekutuan Malaysia pada 16 Sept 1963,” katanya.

Abraham menambah, Perintah-perintah dalam Majlis 1954 kerajaan penjajah memberikan hak kepada pelantar benua kepada Sabah dan Sarawak berbanding negeri-negeri di Malaysia Barat.

Dalam pada itu, peguam Tommy Thomas yang mewakili Kelantan dan Terengganu dalam tuntutan mereka berkata wilayah perairan bukan satu isu.

“Membuat rujukan kepada 10 lagi akta yang lain secara total tidak relevan sama sekali. Akta Pembangunan Petroleum tidak pernah menyentuh doktrin wilayah perairan,” kata beliau dengan merujuk kepada undang-undang itu yang membawa kepada pembentukan Petronas.

Soal beliau, jika perairan menjadi satu ukuran mengapa Terengganu diberikan wang royalti RM7 bilion dari Jun 1978 hingga September 2000.

-malaysianinsider-

Tiada ulasan: